Azalina beri penerangan RUU Pemecatan Ahli Parlimen 2021

0
2
Timbalan Speaker, Datuk Seri Azalina Othman. Malaysiapost/Sharifudin Abdul Rahim

AHLI Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said, menerangkan lebih terperinci mengenai Rang Undang-Undang (RUU) Pemecatan Ahli Parlimen 2021 yang dicadangkannya untuk dibahas pada persidangan Dewan Rakyat bulan ini.

Bekas Timbalan Speaker Dewan Rakyat itu berkongsi infografik mengenai RUU berkenaan bagi memudahkan orang ramai memahaminya dengan lebih lanjut.

Berdasarkan infografik dikongsi di Facebooknya, beliau menjelaskan RUU Pemecatan Ahli Parlimen 2021 adalah undang-undang yang memperuntukkan kaedah untuk membolehkan pengundi memecat Ahli Parlimen dan membawa Pilihan Raya Kecil (PRK).

Terdapat beberapa alasan pemecatan diperuntukkan dalam RUU berkenaan iaitu Ahli Parlimen berkenaan melompat ke parti politik atau gabungan lain atau dipecat oleh parti.

Alasan lain adalah Ahli Parlimen Bebas memasuki parti politik lain; Ahli Parlimen disabitkan kesalahan hingga dikompaun atau dipenjara selain kesalahan kebebasan bersuara atau berhimpun; dan tidak hadir Mesyuarat Dewan Rakyat sebanyak 50 peratus daripada jumlah hari mesyuarat selama enam bulan berturut-turut.

Perbezaan RUU berkaitan berbanding undang-undang anti lompat parti tradisional adalah rakyat terbabit dalam proses pemecatan kerana memerlukan petisyen daripada rakyat.

RUU itu perlu digubal bagi memastikan mandat diberi kepada Ahli Parlimen dihormati dan memelihara semangat demokrasi serta menghalang berlakunya kemelut politik.

Di samping itu, kebaikan RRU berkenaan adalah Ahli Parlimen tidak boleh melompat parti tanpa persetujuan pengundi mereka, selain memastikan mereka juga tidak boleh dijual beli kerana rakyat diberi kuasa untuk menguasai Ahli Parlimen mereka.

Namun, RUU terbabit juga mempunyai kelemahan iaitu pengosongan kerusi Parlimen akan mengambil masa untuk diisi semula.

Persetujuan dua pertiga Ahli Dewan Rakyat dan Ahli Dewan Negara diperlukan bagi meluluskan RUU Pemecatan Ahli Parlimen 2021 itu dan perlu pindaan serta tambahan dalam Perlembagaan Persekutuan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here