Vaksinasi ‘walk-in’ di Lembah Klang dihenti mulai 15 Sept

0
2

VAKSINASI secara ‘walk-in’ di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Lembah Klang akan dihentikan sepenuhnya mulai 15 September ini, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Adham Baba.

Beliau menjelaskan, keputusan itu dibuat setelah mengambil kira bahawa jumlah penduduk Lembah Klang yang masih belum mendapat vaksinasi Covid-19 adalah sangat kecil.

“Mereka yang belum divaksin pula boleh mendapatkannya di klinik kesihatan tertentu, bermula 16 September ini. Senarai klinik kesihatan tersebut akan diumumkan kelak,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Serah Terima Tugas dengan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin di Putrajaya hari ini.

Mengulas lanjut, Adham menjelaskan, sesi ‘walk-in’ itu hanya dihentikan di Lembah Klang, namun diteruskan di negeri lain.

“Justeru, kita meminta orang ramai yang ingin mendapatkan perkhidmatan itu, supaya mengikuti pengumuman serta maklumat terkini dikeluarkan oleh Jabatan Kesihatan negeri masing-masing.

“Selain ‘walk-in’, usaha memastikan tiada individu tercicir daripada mendapat vaksinasi juga diteruskan melalui kerjasama antara CITF dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi program jangkau luar (outreach),” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here