VETERAN DAP, Lim Kit Siang menyifatkan perjanjian kepercayaan-perbekalan-reformasi yang akan dicapai antara kerajaan dan pembangkang berkemungkinan tergugat susulan ketiadaan usul undi percaya dalam sidang Parlimen minggu depan.
Kit Siang berkata, pelantikan Perdana Menteri oleh Yang di-Pertuan Agong dan hal undi percaya di Parlimen adalah dua perkara yang berbeza sama sekali walaupun ia berkaitan antara satu sama lain.
“Sekiranya Yang di-Pertuan Agong telah berubah fikiran dan bersetuju untuk tidak perlu adanya undi percaya di Parlimen seperti yang didakwa oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, mengapakah perkara ini tidak dinyatakan dari awal lagi?
“Sebaliknya apa yang kita dapat adalah kenyataan luar biasa daripada Peguam Negara, Idris Harun, Sabtu lepas dengan hujah yang tidak masuk akal yang cuba mengatakan undi percaya ini merendah-rendahkan kuasa Agong untuk melantik Perdana Menteri mengikut peruntukan Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu berkata, tidak pelik apabila tidak ada seorang pun pakar undang-undang atau peguam yang menyokong hujah Idris, sebaliknya ramai peguam dan badan bukan kerajaan (NGO) yang membantah pendapatnya.
“Walaupun PAS telah mengambil kedudukan berpendapat bahawa tidak ada keperluan untuk undi percaya di Parlimen, ini adalah pendirian politik PAS, bukannya peruntukan Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
Kit Siang mendakwa Ismail Sabri bimbang beliau tidak mendapat sokongan 114 Ahli Parlimen dalam sidang Parlimen akan datang menyebabkan usul undi percaya menentukan keabsahannya sebagai Perdana Menteri seperti dititahkan Agong pada 17 Ogos lalu, ditiadakan.
“Ismail Sabri boleh mengelakkan undi percaya, namun bolehkah beliau mengelakkan undian di Parlimen yang akan menjadi cerminan keabsahan beliau sebagai Perdana Menteri.
” … sama ada pada 23 September semasa usul Menjunjung Kasih Titah Diraja, atau 7 Oktober semasa pembentangan Rancangan Malaysia ke-12, Belanjawan 2022, atau apa-apa Rang Undang-undang lain?,” soalnya.
Kit Siang juga berharap ribut dan ketidaktentuan politik di Parlimen diakhiri demi memastikan negara menang perang melawan wabak Covid-19 sekali gus meletakkan negara di landasan betul.
Katanya, langkah itu sejajar dengan reformasi institusi dan Parlimen untuk memastikan terdapat pemulihan ekonomi dan negara dalam 12 ke 18 bulan yang akan sehingga Pilihan Raya Umum ke-15.
Mengulas lanjut, Kit Siang berkata, pihaknya hanya mampu menunggu dan lihat sama ada perjanjian kepercayaan-perbekalan-reformasi masih dapat diselamatkan sebelum Parlimen bersidang Isnin depan. – Malaysiapost

