LEMBAGA Urus Air Selangor (LUAS) mengambil beberapa langkah dalam menangani isu pencemaran bau di Sungai Semenyih minggu lalu yang mengakibatkan gangguan bekalan air di beberapa kawasan.
Langkah terbabit termasuk pengumpulan empat sampel iaitu tanah, aliran keluar minyak daripada premis, air di hulu sungai dan air di pertemuan keluar Sungai Semenyih untuk dianalisis.
LUAS dalam satu kenyataan berkata, Skuad Pantas LUAS telah menjalankan pemantauan statik dan pensampelan ujian bau di dua kawasan iaitu di Jambatan Ladang Bukit Unggul dan Jambatan Kampung Rinching Hilir yang dijalankan setiap satu jam.

“Skuad Pantas LUAS telah meletakkan Activated Carbon (Serbuk Karbon Teraktif, Oil Boom dan Oil Pad di kawasan berkaitan bagi mengawal sebarang pencemaran ke Sungai Semenyih.
“Empat sampel diambil iaitu tanah, aliran keluar minyak daripada premis, air di hulu sungai dan air di pertemuan keluar Sungai Semenyih dalam insiden pencemaran bau minggu lalu,” katanya dalam satu hebahan di Facebook.
LUAS berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dan tindakan tegas akan dikenakan kepada pelaku selaras dengan Seksyen 79(1) (a) Enakmen LUAS (Pindaan) 2020 kerana pencemaran sumber air.

“Jika sabit kesalahan akan dihukum penjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun dan didenda tidak kurang daripada RM200,000 dan tidak melebihi RM1 juta.
“LUAS akan terus komited dalam melaksanakan pemantauan 24 jam di lembangan sungai dalam memastikan kelangsungan sumber air di Selangor terpelihara,” katanya.
Minggu lalu, Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih terpaksa dihenti tugas akibat insiden pencemaran bau di Sungai Semenyih.
Keadaan itu menyebabkan berlaku gangguan bekalan air tidak berjadual di 463 kawasan di Lembah Klang. – Malaysiapost

