Remaja Sarawak mula terima vaksin Covid-19 hari ini – KJ

0
2
vaksin covid pkp

REMAJA bawah 17 tahun di Sarawak mula menerima suntikan vaksin Covid-19 jenis Pfizer hari ini, kata Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.

Menerusi ciapan di Twitternya, Khairy berkata kumpulan itu terdiri daripada remaja berusia 16-17 tahun dan remaja 12-15 tahun yang berisiko tinggi.

“Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 telah mengambil langkah permulaan vaksinasi Covid-19 untuk remaja.

“Sarawak akan bermula hari ini membabitkan kanak-kanak berumur 16-17 tahun dan 12-15 tahun yang berisiko tinggi (tanpa keadaan perubatan kronik),” katanya.

Sementara itu, Khairy berkata, selepas Sarawak inisiatif itu akan disusuli di Wilayah Persekutuaan Labuan dan Lembah Klang.

“Labuan dan Lembah Klang akan menyusul tidak lama lagi. Kami akan memberikan vaksin Pfizer,” katanya.

Semalam, media melaporkan, seramai 76,400 remaja di Sarawak mula menerima vaksin Covid-19 hari ini.

Khairy berkata, ia sekali gus menjadikan mereka sebagai kumpulan pertama remaja di negara ini yang divaksinasi.

Beliau berkata, kumpulan itu terdiri daripada remaja berusia 16 serta 17 tahun dan remaja berusia 12 hingga 15 tahun yang menghidap penyakit berisiko tinggi iaitu bermasalah dengan sistem imun.

“Saya baru sahaja berhubung dengan Menteri Kesihatan Negeri Sarawak, kumpulan awal yang ditawarkan untuk menerima vaksin. Kadar dos pula sama seperti golongan dewasa.

“Selepas kumpulan awal ini pemberian vaksin akan diberikan kepada remaja berumur 14 dan 15 tahun, kemudian 12 dan 13 tahun secara berperingkat,” katanya.

Pemberian vaksin berkenaan susulan daripada keputusan dasar dibuat Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 iaitu Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) yang meluluskan penggunaan vaksin Pfizer kepada remaja. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here