Zuraida mohon parti pertimbang letak calon wanita

0
3

Fitri Nizam

AHLI Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Zuraida Kamaruddin berharap parti yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, melihat semula keperluan meletakkan calon wanita, seterusnya diangkat menjadi wakil rakyat.

Beliau berkata, pihaknya ada mengemukakan beberapa calon wanita yang berkaliber dan berkebolehan untuk bertanding.

“Jadi saya berharap kepimpinan parti yang bertanding dapat memastikan ada calon wanita untuk diangkat menjadi wakil rakyat.

“Wanita sekarang sudah mampu memberi perkhidmatan baik kepada rakyat,” katanya selepas Majlis Penyerahan Surat Tawaran Program Perumahan Rakyat (PPR) kepada Komuniti Seni Prihatan Finas di Dewan PPR Lembah Subang 2, Petaling Jaya, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas dimaklumkan hanya beberapa wanita diangkat menjadi calon Barisan Nasional (BN), Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) pada PRN Sabah yang diumumkan hari ini.

“Saya dengar tadi zero percent (kosong peratus), bukan kurang 10 peratus. Saya pun tunggu soalan ini supaya boleh jawab,” katanya.

Menjawab sama ada masih tempat untuk meletakkan calon wanita sedangkan penamaan calon pada Sabtu ini, Zuraida berkata perkara itu masih boleh dilakukan.

“Sebelum penamaan calon (Sabtu ini), sebelum terima watikah masih lagi ada harapan,” katanya. – Malaysiapost