Hanya jadi pengulas sukan, Najib jawab sindiran netizen

0
2

BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, beliau sedar pandangan orang ramai terhadapnya kebelakangan ini berikutan hanya aktif mengulas mengenai sukan dan ‘roti’ di media sosial.

Jelas Najib, prinsip dan pendiriannya sangat jelas iaitu akan mencadangkan perkara yang boleh ditambahbaik dan lawan perkara yang salah.

Ahli Parlimen Pekan itu berkata, pendekatan beliau adalah secara bersemuka atau memberi pandangan di media sosial, selebihnya terpulang kepada pihak berkenaan untuk menilainya.

“Saya tahu. Saya baca (sindiran netizen). Prinsip dan pendirian saya jelas.

“Jika ada peluang tambah baik, saya cadangkan. Jika salah, saya lawan. Jika baik, saya sokong. ‘Face to face’, atau kat media sosial.

“Kaedahnya terpulang kepada yang sudi memahami dan mendengar suara rakyat,” katanya dalam hantaran Facebook malam tadi.

Dalam pada itu, Najib berkata, beliau berkesempatan bertemu dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam, bagi membincangkan keadaan semasa ekonomi negara dan langkah wajar yang perlu diambil.

Najib berkata, beliau juga menasihatkan kerajaan supaya tidak melakukan sebarang kesilapan lagi kerana Malaysia masih berada dalam krisis.

Malah, katanya, Malaysia akan berdepan dengan cabaran yang lebih besar dari segi ekonomi, pendapatan dan kebajikan rakyat.

“Dari sudut makro dan secara menyeluruh, kita sudah jauh ketinggalan di belakang berbanding dengan negara jiran.

“Malaysia tidak lagi mempunyai daya tarikan terhadap pelabur asing serta selepas 2018. Dari sudut mikro dan melibatkan rakyat pula, ramai tidak ada keyakinan terhadap ekonomi kita.

“Malah timbul kerisauan terhadap keperluan, pendapatan dan kestabilan pekerjaan masing-masing,” katanya.

Najib berkata, beliau berharap cadangan dan strategi yang dilontarkan itu akan dimanfaatkan pihak berkenaan.

“Secara umumnya, itulah yang saya sampaikan kepada semua yang sudi mendengar dan menerima pandangan.

“Semoga dimanfaatkan cadangan, strategi dan pengalaman yang ada. Sekarang tiba masa bagi Rakyat didahulukan dan Pencapaian diutamakan.

“Kita tidak mampu gagal lagi. Demi Keluarga Malaysia,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here