Sultan Muhammad V titah rakyat Kelantan terima vaksin

0
2

SULTAN Kelantan, Sultan Muhammad V menitahkan rakyat Kelantan yang belum divaksin supaya mendaftar atau mendapatkannya secara ‘walk in’ di pusat pemberian vaksin negeri ini.

Baginda membuat gesaan itu supaya Kelantan mencapai 80 peratus imuniti kelompok pada penghujung bulan ini seperti dirancang.

Setiausaha Sulit Kanannya Datuk Nik Mohd Shafriman Nik Hassan berkata baginda berdukacita kerana Kelantan antara negeri yang terendah peratusan penerima vaksin iaitu 50 peratus.

“Justeru, Baginda mengalu-alukan pengumuman Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin mengenai peruntukan 1.2 juta dos tambahan untuk Kelantan bagi membantu mempercepatkan proses pemberian vaksin.

“Baginda juga benar-benar berharap agar rakyat Kelantan akan segera mendapatkan vaksin supaya dapat melindungi diri sendiri dan ahli keluarga mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Nik Mohd Shafriman berkata Sultan Muhammad V turut bertitah bahawa mengambil vaksin adalah tanggungjawab individu kepada diri sendiri, keluarga dan masyarakat.

“Baginda merujuk resolusi Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) ke-10 yang bersetuju hukum penggunaan Vaksin Covid-19 adalah harus dan wajib diambil oleh golongan yang ditetapkan oleh kerajaan Malaysia,” katanya.

Baginda juga menyarankan semua pihak bersama memperluaskan outreach terutama di kampung dan pedalaman supaya masyarakat yakin keberkesanan vaksin dan tidak bersangka buruk terhadap vaksin.

“Baginda berharap rakyat Kelantan segera mendapatkan vaksin supaya Kelantan tidak tercicir dalam mencapai imuniti kelompok dan seluruh rakyat boleh menjalani kehidupan dengan lebih baik.

“Hospital tidak lagi terbeban dan rawatan untuk pesakit lain tidak terjejas,” katanya.-Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here