Foto Kredit: Amazing Nara
BEKAS Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menjelaskan yang beliau tidak mempunyai sebarang masalah dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Sebaliknya kata Mahathir, Presiden PKR itu yang bermasalah dengannya.
Memetik laporan Malaysiakini, Ahli Parlimen Langkawi itu juga menolak dakwaan yang beliau cuba menyekat kemaraan Anwar dan DAP.
“Saya nak bagi Anwar kalah, nak bagi DAP jatuh semua tu tak benar, saya tak ada masalah dengan DAP.
“Anwar ada masalah dengan saya, saya tak ada masalah dengan dia,” katanya seperti dilaporkan portal berkenaan.
Mahathir juga menegaskan yang beliau tidak mempunyai masalah untuk menangani DAP dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH).
Hubungan Mahathir dengan Anwar dingin selepas kejatuhan PH khususnya berkait dengan isu calon Perdana Menteri.
Anwar dikatakan “tidak percaya lagi” dengan Mahathir untuk kembali menjadi Perdana Menteri jika PH berkuasa.
Pada 7 September lalu, bekas Setiausaha Politik Mahathir, Muhammad Zahid Md Arip mendakwa bekas Pengerusi Bersatu itu tersenyum puas dengan kejatuhan PH.
Katanya Mahathir merestui gerakan menyekat Presiden PKR daripada menjadi Perdana Menteri dan DAP.- Malaysiapost

