1,585 kes cerai di Johor antara Mac hingga Julai 2021

0
4

SEBANYAK 1,585 kes perceraian direkodkan Mahkamah Syariah Negeri Johor, berikutan pelbagai masalah kesan pandemik Covid-19 dalam tempoh antara Mac hingga Julai tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Tosrin Jarvanthi, berkata lima daerah merekodkan kes perceraian tertinggi iaitu Johor Bahru, Batu Pahat, Kluang, Muar, Kota Tinggi dan Pontian.

Beliau berkata Johor Bahru merekodkan 830 kes, diikuti Batu Pahat (158 kes), Kluang (150), Muar dan Kota Tinggi (97) dan Pontian (91).

Sementara itu, sebanyak 1,054 aduan masalah rumah tangga diterima Pejabat Kadi Daerah, talian hotline dan Pusat Khidmat Keluarga, Sosial dan Komuniti (KSKCare Center) dalam tempoh sama.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Chen Kah Eng (DAP-Stulang) pada sesi soalan lisan Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang ke-14, hari ini, lapor Berita Harian.

Kah Eng bertanya mengenai peningkatan masalah sosial dan kekeluargaan di Johor akibat wabak Covid-19.

Tosrin yang juga ADUN Bukit Permai berkata, sebanyak 9,614 pasangan pula bernikah di negeri ini dalam tempoh antara Januari hingga Julai lalu.

“Lima daerah yang merekodkan pernikahan tinggi adalah Johor Bahru, Batu Pahat, Muar, Kota Tinggi dan Kluang.

“Johor Bahru merekodkan sebanyak 2,917 pasangan bernikah diikuti Batu Pahat (1,622), Muar (961), Kota Tinggi (880) dan Kluang (672),” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here