JAGUH lumba basikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang mahu memberi fokus sepenuhnya terlebih dahulu terhadap aksi Sukan Olimpik 2024 di Paris.
Sehubungan itu, pemenang pingat perak acara Keirin Sukan Olimpik Tokyo itu belum membuat sebarang keputusan berhubung tawaran daripada pihak Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Azizulhasni ditawarkan Biasiswa Bitara Pasca Siswazah untuk melanjutkan pengajian di peringkat Doktor Falsafah serta jawatan sebagai pensyarah.
“Saya telah memaklumkan kepada pihak UPSI yang buat masa ini saya tidak akan membuat mana-mana pilihan konkrit ke atas tawaran-tawaran yang diterima.
“Ini kerana fokus saya adalah untuk memberikan tumpuan penuh kepada Olimpik 2024 terlebih dahulu,” katanya menerusi satu hantaran di Facebooknya hari ini.
Dalam satu majlis di UPSI semalam, Azizulhasni diberi Anugerah Kecemerlangan Tokoh Sukan UPSI selain ditawarkan secara rasmi Biasiswa Bitara Pasca Siswazah untuk melanjutkan pengajian di peringkat Doktor Falsafah serta jawatan sebagai pensyarah.
Menurutnya, tawaran itu adalah satu langkah dinamik dari pihak UPSI yang mana suatu masa nanti apabila tiba masa menggantung basikal, beliau tahu sudah ada peluang baharu dalam kariernya.
“Saya berharap, penganugerahan seperti ini akan menjadi motivasi untuk rakan-rakan atlet di luar sana untuk bekerja dengan lebih keras dan mencapai kejayaan di peringkat yang tertinggi,” katanya. – Malaysiapost

