Jangan ada campur tangan politik dalam lantikan utama kerajaan

0
3
Jalur gemilang dipasang di sekitar jalan menujuk ke Pejabat Perdana Menteri (PMO) di Putrajaya. Malaysiapost/Sharifudin Abdul Rahim

INDIVIDU yang berkelayakan seharusnya dilantik menerajui jawatan-jawatan penting dalam pentadbiran negara.

Perkara ini disuarakan oleh Presiden Parti Berjasa Zamani Ibrahim yang berkata, urustadbir kerajaan mestilah diperkasakan menerusi pelantikan jawatan utama dalam kerajaan yang tidak ada campur tangan politik.

Justeru, Zamani berkata, satu memorandum telah diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong hari ini di Istana Negara.

Katanya, Berjasa telah mempersembahkan tiga cadangan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk memperkasakan tadbir urus kerajaan Malaysia.

“Pertama, lantikan jawatan tertinggi negara seperti jawatan Yang Dipertua Dewan Rakyat dan Dewan Negara, Peguam Negara, Ketua Hakim Negara, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Pengerusi SPR, Ketua Polis Negara dan Ketua Setiausaha Negara adalah berdasarkan kepada keupayaan tanpa melibatkan campur tangan politik.

“Kedua lantikan pegawai tertinggi negara hendaklah dalam kalangan orang yang; kuat pegangan agama, taat setia kepada Raja dan Negara, berwibawa, mempunyai integriti yang tinggi, tiada kes mahkamah, tiada kes rasuah, mempunyai keupayaan menjalankan tugas secara adil dan saksama.

“Ketiga, memisahkan bidang kuasa Peguam Negara dengan Pendakwa Raya bagi menjamin ketelusan dan keadilan dalam institusi perundangan negara,” katanya pada sidang media di perkarangan pintu dua Istana Negara, Kuala Lumpur, hari ini.

Terdahulu, Zamani tiba di Istana Negara kira-kira jam 10 pagi untuk menyerahkan memorandum itu kepada pihak Istana Negara. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here