KANAK-kanak orang kurang upaya (OKU), Muhammad Fayyadh Abdul Wahid, berusia enam tahun yang dilaporkan hilang di kediaman ibu bapanya di Lorong Jaya, Taman Kinta Baru, Gopeng, semalam ditemui lemas.
Mayat kanak-kanak itu ditemui oleh pasukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) dalam keadaan terapung di sebuah lombong berdekatan rumahnya pada jam 9.45 pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Hasron Nazri Hashim berkata, mayat mangsa ditemukan pasukan operasi mencari dari Balai Gopeng.
“Pasukan operasi mencari dari Balai Gopeng berjaya menemui mangsa dalam keadaan terapung di tepi sebuah lombong dalam jarak 80 meter dari rumah keluarga mangsa.
“Mayat mangsa dibawa naik oleh pihak Bomba dan Penyelamat (BBP) Gopeng dan pemeriksaan awal pada fizikal mangsa dibuat dan didapati tiada elemen ‘foul play’ dan pengecaman mayat dibuat oleh keluarga mangsa,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro.
Menurutnya, mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Kampar untuk dibedah siasat dan setakat ini kes diklasifikasi sebagai kematian mengejut (SDR).
Terdahulu kehilangan kanak-kanak terbabit disedari oleh ibunya Nur Shamimi Abdul Malek kira-kira jam 6.30 petang semalam dan mangsa adalah OKU (autisme) iaitu mengalami masalah hiperaktif, kurang pendengaran dan tidak boleh bercakap. – Malaysiapost

