SEORANG lelaki bergelar Datuk, dipercayai mendalangi sindiket penyeludupan tembakau kunyah dengan menjadikan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pintu masuk penyusupan barangan diimport dari India itu.
Dalang sindiket itu, dikatakan ‘menguasai’ pegawai tertentu yang bertanggungjawab terhadap proses kemasukan barangan terbabit hingga berjaya membawa tembakau berkenaan tanpa membayar sebarang cukai.
Sindiket berkenaan dipercayai aktif sejak 2005 dan menguasai pasaran tembakau kunyah terutama bagi warga asing yang bekerja di Malaysia.
Menurut sumber, pihak Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) kini sedang menjalankan siasatan terhadap dalang sindiket berkenaan yang disyaki turut terbabit dalam kegiatan penyeludupan dadah.
“Persoalan utama, bagaimana barangan iaitu tembakau kunyah yang diimportnya itu boleh lolos pemeriksaan tanpa membayar cukai?
“Sudah tentu ada segelintir pegawai kastam dan pimpinan tertinggi agensi itu yang melindunginya,” dakwa sumber berkenaan.
Menurutnya, difahamkan ramai petugas kastam juga tidak senang berhubung kegiatan lelaki bergelar Datuk terbabit, namun terdapat pihak berkepentingan yang melindungi perbuatannya itu hingga menjejaskan petugas JKDM di KLIA yang tidak bersekongkol dengannya.
“Datuk ini langsung tak bayar (cukai). Kabel (orang melindungi) kumpulan ini sangat berpengaruh hinggakan barang boleh keluar tanpa bayar cukai,” dakwanya.
Sumber berkata, KLIA menjadi pintu utama penyeludupan tembakau kunyah berkenaan, namun terdapat beberapa laluan lain yang juga digunakan bagi menyeludupnya.
“Modus operandi sindiket ini hanya guna laluan udara untuk mengimport tembakau itu sebelum diedarkan di seluruh negara,” katanya.
Menurut sumber, dalang utama itu kini dipercayai sedang ‘kepanasan’ susulan pembongkaran sindiket penyeludupan dadah jenis methaphetamine di KLIA oleh JKDM baru-baru ini.
“Lelaki bergelar Datuk ditahan JKDM selepas cuba menyeludup keluar dadah jenis methaphetamine dianggarkan bernilai RM14.4 juta di Kompleks Kargo Udara KLIA, Sepang, 31 Ogos lalu.
“Rangkaian sindiket ini dikaitkan dengan dalang penyeludupan tembakau kunyah berkenaan dan setakat ini JKDM masih menyiasat pembabitan sebenar lelaki itu tetapi mungkin mengambil masa yang panjang.
“Hubungannya yang dikaitkan kuat atau rapat dengan orang tertentu dalam JKDM itu mungkin mengganggu pasukan penyiasat,” katanya.
Pada 3 September lalu, Ketua Pengarah JKDM, Datuk Seri Abdul Latif Abdul Kadir dalam satu sidang media mendedahkan pasukannya berjaya merampas dadah seberat 400 kilogram (kg) dalam bungkusan teh yang diikrarkan sebagai troli barang.
Dalam serbuan dilakukan Cawangan Narkotik JKDM Ibu Pejabat kira-kira jam 4 pagi pada 31 Ogos lalu, seorang lelaki bergelar datuk berusia 48 tahun antara tiga yang ditahan selepas disyaki cuba menyeludup keluar dadah berkenaan. – Malaysiapost

