JAS belum terima laporan EIA isu nyahwarta HSKLU

0
3
tuan ibrahim tuan man

JABATAN Alam Sekitar (JAS) belum menerima sebarang Laporan Penilaian Kesan kepada Alam Sekeliling (EIA) berhubung cadangan pembangunan di kawasan Hutan Simpan Kekal Sungai Panjang, Sabak Bernam, Selangor.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata sebarang keputusan sama ada kerja-kerja pembangunan di kawasan Hutan Simpan Kekal itu wajar diteruskan atau tidak adalah tertakluk kepada keputusan penilaian Laporan EIA.

Beliau berkata, penyediaan Laporan EIA di Malaysia adalah satu keperluan di bawah Seksyen 34A, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127) yang dikuatkuasakan JAS.

“Laporan EIA hendaklah disediakan oleh orang yang berkelayakan dan perlu menepati garis panduan yang ditetapkan oleh JAS.

“Laporan EIA ini membolehkan penilaian terhadap impak ke atas kesan alam sekitar serta mencadangkan langkah yang perlu diambil untuk mencegah, mengurang atau mengawal kesan negatif terhadap alam sekitar dilakukan,” katanya dalam sidang media secara maya, hari ini.

Dalam pada itu, beliau menyokong penuh kenyataan dibuat Menteri Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang tidak bersetuju dengan cadangan pewartaan keluar Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU) oleh kerajaan negeri Selangor.

“Bagi kementerian, pewartaan keluar HSKLU atau mana-mana hutan simpan yang ada di Malaysia akan menjejaskan sasaran 45 peratus pengurangan karbon intensiti (per KDNK) menjelang tahun 2030 di bawah Nationally Determined Contribution (NDC) negara yang dikemukakan kepada UNFCCC pada tahun 2021,” katanya.

Sebelum ini, Selangor pada sidang DUN negeri memaklumkanMesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) memutuskan kira-kira 536.70 hektar daripada keseluruhan kawasan HSKLU diluluskan untuk dinyahwarta mengikut Seksyen 12, Enakmen (Pemakaian) Akta Perhutanan Negeri Selangor 1985.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli Selangor Hee Loy Sian, berkata keputusan itu dibuat menerusi MMKN pada 5 Mei dan disahkan pada 19 Mei.

Jelasnya, jumlah keluasan HSKLU yang ingin dinyahwarta ini adalah kurang 45 peratus daripada jumlah asal yang dicadangkan iaitu kira-kira 991.90 hektar.

Dalam mesyuarat yang sama MMKN turut meluluskan kawasan seluas 581.48 hektar sebagai gantian HSK di negeri ini. Tindakan itu sekali gus mendapat reaksi pelbagai termasuk bantahan pelbagai pihak untuk mempertahankan kawasan HSKLU sebagai hutan simpan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here