USUL Undi Percaya terhadap Perdana Menteri di Dewan Rakyat perlu dilaksanakan walaupun amalan tersebut tidak disebut oleh perlembagaan.
Ketua Pembangkang Perak, Dr Abdul Aziz Bari berkata, amalan itu juga tidak dilarang oleh mana-mana peruntukan perlembagaan dan lebih penting ia lebih hampir kepada semangat perlembagaan.
“Meskipun amalan tersebut tidak disebut oleh perlembagaan ia tidak dilarang oleh mana-mana peruntukan perlembagaan. Dan yang lebih penting ia lebih hampir kepada semangat perlembagaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Abdul Aziz yang juga Naib Pengerusi DAP Perak berkata, agak jelas bahawa setakat ini semua pihak sepakat (consensus) bahawa Usul Percaya adalah perlu bagi mengesahkan pelantikan di pertengahan penggal (mid term).
Katanya, ia berbeza dengan pelantikan kerajaan oleh Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-raja selepas pilihan raya umum. “Amalan di Malaysia juga agak konsisten.
Bermula dengan Datuk Hussein Onn pada 1976, diikuti oleh Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada 2003 dan Datuk Saarani Mohamad di Perak pada 2020. “Semua perlantikan ini kemudiannya diikuti oleh usul percaya di dalam Dewan,” katanya.
Dalam pada itu, Abdul Aziz berkata, pada 1976 dan 2003 parti yang memerintah mempunyai majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat.
Katanya, peralihan kuasa daripada Tunku Abdul Rahman kepada Tun Abdul Razak pada 1970, dan Tun Hussein Onn kepada Tun Dr Mahathir Mohamad pada tahun 1981 tidak diikuti oleh usul percaya.
Bagaimanpun kedua-dua ini adalah kes minoriti. “Apabila Umno diharamkan oleh Mahkamah pada 1987 Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad membuktikan majoriti beliau di luar parlimen. Selain itu amalan yang lebih terkini pada 2003 dan 2020 memihak kepada usul sedemikian.
“Dengan demikian boleh lah dikatakan bahawa ia adalah amalan atau tradisi yang harus diteruskan.
“Apatah lagi dalam keadaan majoriti yang tipis dan dipersoalkan. Dengan itu titah Yang di-Pertuan Agong supaya usul percaya untuk Perdana Menteri Datuk Sri Ismail Sabri Yaakob perlu diteruskan,” katanya.
Baru-baru ini, Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun memaklumkan tiada keperluan untuk mengabsahkan pelantikan Perdana Menteri dan kerajaan yang sudah dibentuk mengikut lunas undang-undang.
Idrus berkata, langkah mengabsahkan pelantikan perdana menteri adalah tidak selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan menidakkan kuasa Seri Paduka Baginda sepertimana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Beliau berkata, nama bakal Perdana Menteri daripada kesemua 220 Ahli Dewan Rakyat telah dikemukakan kepada pihak Istana Negara menerusi surat akuan pada 18 Ogos lalu. – Malaysiapost

