Bantuan tunai tak memadai, rakyat ‘dahaga’ peluang kerja, berniaga

0
3

KETUA Penerangan Umno, Shahril Sufian Hamdan menyifatkan bantuan tunai semata-mata tidak memadai sebaliknya rakyat lebih memerlukan peluang pekerjaan dan berniaga.

Beliau mengakui bantuan kecemasan tunai termasuk Bantuan Khas Covid-19 (BKC) adalah senjata utama sewaktu pandemik, namun ia hanya bersifat sementara.

“Langkah mempercepat BKC amat dialu-alukan. Namun, saya yakin Kerajaan juga sedar bahawa bantuan tunai semata-mata tidak memadai. “Bantuan kecemasan tunai senjata utama sewaktu pandemik yang dianggap sementara.

Tetapi dalam mahu beralih ke fasa endemik, ia bermakna kita mengakui Covid akan bersama kita buat beberapa ketika lamanya lagi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, sampai bila rakyat perlu bergantung kepada bantuan tunai termasuk pengeluaran wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang semakin mengecil.

Katanya, lebih 4.5 juta pencarum KWSP mempunyai simpanan kurang RM5,000 dan tidak mustahil apabila insiatif i-Citra tamat lebih sejuta tinggal baki sifar dalam caruman.

“Bermakna strategi pengukuhan ekonomi makro dan ekonomi rakyat mesti lebih menyeluruh. Untuk merancakkan ekonomi, kita mesti tampil dengan idea-idea yang berbeza dari sebelum ini.

“Lebih 750,000 orang menganggur dan kebanyakannya orang muda. Mereka tidak menolak wang tunai ataupun kampit beras, tetapi mereka lebih mahu peluang kerja dan peluang berniaga,” katanya.

Shahril berkata, orang muda di Malaysia amat komited serta bersemangat dan konsep menjana pendapatan untuk diri sendiri dan keluarga adalah sangat penting bagi kumpulan itu.

“Ke arah itu, pertama, saya menyambut baik perancangan pembukaan sektor-sektor ekonomi dengan selamat sepertimana disebut Menteri Kanan Keselamatan dan Menteri Kesihatan baru-baru ini.

“Perinciannya tentunya perlu diperhalusi tetapi dari segi konsepnya, wajar – ke arah fasa endemik.

Sambil merancang pembukaan dan kelonggaran itu, Kerajaan mesti memerangi pengangguran dengan dasar tuntas,” katanya.

Justeru, beliau sekali lagi mengesyorkan skim jaminan pekerjaan atau Job Bank di mana kerajaan tidak mengharap swasta sahaja untuk mencipta kekosongan pekerjaan.

Sebaliknya, beliau berkata, dalam jangka pendek dan sederhana kerajaan beraksi lebih “direct” yakni sediakan dan biayai peluang pekerjaan yang sepatutnya.

“Selain itu, sebarang usaha menjana aktiviti perniagaan harus dilaksana segera seperti mempermudah birokrasi yang mengekang peniaga dan penjaja melalui kerjasama dengan PBT-PBT seluruh negara,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here