JAGUH lontar peluru para negara, Muhammad Ziyad Zolkefli menegaskan dia dan jurulatihnya, Faizol Harun tiba di tempat pertandingan tepat pada waktunya iaitu pada jam 5.55 petang.
Menerusi penjelasan di Instagramnya hari ini, Muhammad Ziyad menafikan isu kelewatan yang dikatakan berpunca kerana dia sibuk menghubungi ahli keluarganya.
Dia juga keliru apabila didakwa enggan mengaku yang dia tiba lewat di tempat pertandingan.
“Saya pun keliru bila ada orang bertanya kenapa jurulatih saya tidak mengaku sahaja saya lewat sedangkan saya sendiri telah mengaku kepada isteri saya yang saya lewat dua minit seperti disiarkan oleh Astro Arena.
“Ada yang cakap saya lewat sebab sedang sibuk telefon keluarga saya… pening saya.
“Sebenarnya saya tidak lewat. Rupanya ia salah faham sahaja. Selepas penyertaan saya dibatalkan, saya berjumpa jurulatih. Coach saya memberitahu pengadil mengatakan saya lewat dua minit.
“Saya menghubungi isteri dan berbual dengan isteri, saya beritahu yang pengadil kata saya lewat dua minit. Mungkin ini salah fahamnya… seolah-olah saya mengaku saya lewat dua minit kerana sedang bercakap di telefon dengan keluarga saya.
“Saya nak bagitau semua dan saya yakin yang saya dan jurulatih sampai tepat pada waktunya iaitu 5.55 petang… itu sahaja,” katanya di Instagram, hari ini.
Kemenangan emas Muhammad Ziyad, 31, dalam acara lontar peluru F20 pada temasya Paralimpik Tokyo 2020 dibatalkan susulan lewat tiba di bilik panggilan.
Pembatalan penyertaannya dibuat selepas dia meraih pingat emas serta melakukan catatan 17.94 meter sekali gus memecahkan rekod dunia.
Muhammad Ziyad diklasifikasikan sebagai ‘Did Not Start’ (DNS) kerana didakwa lewat melapor diri ke bilik menunggu dan kemenangan menjadi milik Maksym Koval dari Ukraine. – Malaysiapost

