Pencemaran air: Reman 4 pengurus kilang disambung 5 hari lagi

0
2
Kredit Foto: Kosmo!
Kredit Foto: Kosmo!

Kredit Foto: Kosmo!

TEMPOH tahanan reman empat pengurus kilang adik-beradik berhubung siasatan pencemaran sumber air di Sungai Gong, Rawang, disambung lima hari lagi.

Perintah lanjutan tahanan reman yang bermula esok itu dikeluarkan Majistret Nik Mohd Fadli Nik Azlan di Mahkamah Majistret Selayang.

Ia dikenakan ke atas kesemua suspek lelaki berumur 50 hingga 60 tahun sehingga 15 September ini, lapor Bernama.

Kesemua mereka dibawa ke Kompleks Mahkamah Selayang pada jam 9.15 pagi tadi.

Empat lelaki tersebut ditahan reman selama enam hari sejak Sabtu lalu.

Di mahkamah sama, seorang lelaki yang juga pekerja kilang berusia 30-an direman enam hari berhubung siasatan kes sama bermula hari ini selepas ditangkap di Gombak, semalam.

Kesemua mereka disiasat mengikut Seksyen 430 Kanun Keseksaan iaitu bagi kesalahan melakukan khianat dengan mendatangkan bencana terhadap perjalanan tali air sehingga menyebabkan susut bekalan air kepada manusia dan haiwan.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang daripada lima tahun dan maksimum 30 tahun dengan denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Isnin lalu, dua pekerja lelaki sebuah kilang direman enam hari mulai 7 September berhubung kejadian sama.

Ekoran pencemaran minyak dari kilang itu pada 3 September lalu, Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang dihenti tugas.

Berikutan penutupan LRA tersebut, sebanyak 1,292 kawasan di tujuh wilayah sekitar Lembah Klang mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual. – Malaysiapost