PKPS nafi ceroboh, buka sebahagian kawasan HSK Sungai Panjang

0
3

PERBADANAN Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) menafikan tuduhan kononnya ia telah menceroboh dan membuka sebahagian kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK) Sungai Panjang di Sabak Bernam.

Ia susulan laporan dua portal berita yang mendakwa pembukaan sebahagian kawasan HSK kononnya dikatakan hutan gantian berikutan penyahwartaan HSK Kuala Langat Utara (HSKLU).

Laporan portal tersebut memetik kenyataan media gabungan NGO The Coalition for the Protection of Selangor’s Forests serta Pengarah Global Environmental Centre (GEC), Faizal Parish dalam program temu bual Consider This: Astro Awani, Khamis lalu.

PKPS menerusi kenyataan menyifatkannya sebagai kenyataan berniat jahat dan subversif bagi merosakkan imej PKPS dan secara tidak langsung ingin mensabotaj inisiatif kerajaan Selangor yang telah dirancang bagi kepentingan rakyat.

Menurut, ia dilakukan dengan mengaitkan nyahwarta HSKLU dengan tanah milik persendirian PKPS yang akan dibangunkan sebagai tapak Inisiatif Jaminan Bekalan Makanan Negeri Selangor.

“Tapak projek pembangunan pertanian bersepadu dikenali Selangor Smart Agro Park (SSAP) yang dikaitkan dengan tohmahan liar itu adalah tanah hak milik PKPS berstatus Pertanian dan bukan berstatus HSK.

“Ia disahkan Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS) menerusi surat bertarikh 16 April 2021 serta Pelan Fizikal Negara, Pelan Struktur Negeri dan Pelan Rancangan Tempatan Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB),” kata kenyataan itu.

Menurut PKPS, pada 28 Ogos lalu, pihaknya menerima aduan mengenai imej satelit menunjukkan berlaku pencerobohan oleh pihak luar dalam kawasan SSAP dan sekitar HSK Sungai Panjang.

Berdasarkan maklumat tersebut, kata PKPS, pihaknya membuat langkah pencegahan dengan mengarahkan pemantauan lebih ketat di keseluruhan tapak hak milik PKPS seluas 971 hektar.

Sehubungan itu, PKPS akan mengambil tindakan undang-undang termasuk tuntutan saman fitnah dalam masa terdekat terhadap pihak yang terbabit.

“PKPS kekal komited untuk melaksanakan projek SSAP berdasarkan lunas undang-undang dan peraturan ditetapkan oleh kerajaan Selangor,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here