Bencana kepala air: KPLB beri peruntukan tambahan RM38 juta

0
1

KEMENTERIAN Pembangunan Luar Bandar (KPLB) menyalurkan peruntukan tambahan RM38 juta bagi memperbaiki infrastruktur yang rosak teruk akibat bencana kepala air di Yan dan Merbok, Kedah baru-baru ini.

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata pihaknya amat memahami kesukaran dihadapi penduduk di daerah itu yang terjejas akibat kejadian kepala air pada 18 Ogos lalu yang mengorbankan enam nyawa.

“Setelah meninjau keadaan semasa selepas bencana itu, KPLB memutuskan untuk menambah peruntukan dengan segera bagi membolehkan pelbagai infrastruktur dibaiki secepat mungkin.

“Ini demi memastikan anggota Keluarga Malaysia di Yan yang ditimpa musibah dapat kembali menjalani hidup seperti biasa.

“Ini juga memandangkan banyak infrastruktur terjejas teruk dan memerlukan pembaikan segera kerana ia melibatkan keperluan penduduk setempat,” katanya dalam kenyataan selepas tinjauan di lokasi terjejas di Pekan Yan hari ini.

Mahdzir berkata, peruntukan segera itu seiring dengan keprihatinan KPLB dalam memfokuskan kesejahteraan rakyat terutama di luar bandar sebagai sebahagian Keluarga Malaysia.

Peruntukan tambahan itu membabitkan pembinaan rumah PPRT sebanyak RM1 juta, RM300,000 untuk kerja baik pulih jalan kampung dan RM500,000 di bawah program Ameniti Sosial termasuk membaikpulih titi dan jambatan.

Sementara, peruntukan RM1 juta untuk bekalan air alternatif dan RM35 juta untuk menaiktaraf Loji Rawatan Air Tupah bagi menyedia akses bekalan air bersih dan terawat kepada 450 rumah penduduk yang terlibat. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here