Suami isteri dera bayi didakwa di mahkamah esok

0
3

SEPASANG suami isteri yang ditahan membabitkan kes dera bayi lelaki berusia 16 bulan pada 25 Ogos lalu akan didakwa di Mahkamah Majistret Tampin, Negeri Sembilan, esok.

Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Anuwal Ab Wahab berkata, bapa tiri mangsa berusia 23 tahun akan dituduh mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001.

“Ibu kanak-kanak itu pula yang berusia 17 tahun akan didakwa mengikut Seksyen 33 Akta Kanak-kanak 2001 kerana pengabaian terhadap kanak-kanak,” katanya dipetik Berita Harian, hari ini.

Terdahulu, media melaporkan sepasang suami isteri dari FELDA Bukit Jalor, Air Kuning Selatan, Tampin, ditahan susulan kejadian dera anak lelaki mereka pada 25 Ogos lalu.

Perbuatan itu terbongkar selepas polis menerima laporan daripada seorang doktor dari sebuah klinik di daerah ini yang memaklumkan menerima seorang pesakit iaitu bayi berkenaan dalam keadaan lebam di mata dan ada kesan terkena seterika di belakang badannya disyaki didera.

Anuwal berkata, keadaan mangsa ketika ini dilaporkan stabil selepas mendapat rawatan di Hospital Tengku Ampuan Najihah (HTAN), Kuala Pilah.

“Bayi berkenaan yang sudah keluar daripada hospital kini di bawah jagaan dan pemerhatian Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan ditempatkan di sebuah pusat jagaan kanak-kanak di Seremban,” katanya. – Malaysiapost

Foto sekadar hiasan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here