NIAT tujuh sekawan untuk bermandi-manda di sungai bertukar tragedi selepas mereka tersesat dan terkandas di lereng sebuah bukit di Jeram Gunung Hitam Hulu, Sungai Lui, Selangor semalam.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, pasukan mencari dan menyelamat (SAR) berjaya menemui kesemua mangsa dalam keadaan selamat pada jam 1.51 pagi tadi.
“Kejadian melibatkan tujuh remaja berusia 18 tahun sesat di hutan ketika beriadah. Kesemua mangsa dapat dihubungi melalui talian telefon dan dimaklumkan tidak mengalami kecederaan.
“Kesemua mangsa telah ditemui oleh pihak bomba dalam keadaan selamat dan kerja-kerja membawa mangsa keluar sedang dijalankan,” katanya memetik Sinar Harian.
Terdahulu, media melaporkan melaporkan tujuh remaja lelaki yang tersesat ketika aktiviti mendaki bukit di kawasan Gunung Hitam, Sungai Lui.
Difahamkan, kesemua mangsa yang berasal dari Lembah Klang sebelum ini dilaporkan sesat setelah menaiki Gunung Hitam dan melakukan aktiviti perkhemahan pada Sabtu petang. – Malaysiapost
Foto : Bernama

