TINDAKAN empat lelaki menguji kelajuan kereta mewah berhampiran kawasan Awan Besar di Lebuhraya Shah Alam (Kesas) membawa padah apabila ditahan awal pagi tadi.
Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mohd Nadzri Hussain berkata kesemua mereka ditahan dalam Operasi Khas Samseng Jalanan bermula jam 10 malam tadi dan tamat sekitar jam 4.45 pagi.
“Pada jam 11.20 malam, pasukan tangkapan berada di Lebuhraya Kesas arah Klang terlihat dengan jelas dua kereta Nissan R35 keluar dari kawasan rehat dan rawat (RNR) Awan Besar secara melawan arus dan memberhentikan kereta secara selari.
“Dua kereta itu terus memecut laju bermula dari kilometer (km) 47.8 sehingga km 47.7 kemudian melawan arus di susur RNR menghala semula ke km 47.8. Mereka melakukan aksi sama sebanyak tiga pusingan,” katanya menerusi kenyataan.
Mohd Nadzri berkata, pada jam 11.50 malam, dua lagi kereta jenis BMW M6 dan Mercedes Benz A14 mengulangi perbuatan sama sebanyak dua pusingan.
“Sekitar jam 12.30 tengah malam kesemua suspek berusia 24 hingga 34 tahun telah berhenti di kawasan parkir RNR Awan Besar arah Klang dan pasukan tangkapan memperkenalkan diri sambil menunjukkan kad kuasa polis sebelum membuat tangkapan,” katanya.
Sementara itu, lapan remaja berusia 19 hingga 24 tahun ditahan kerana menunggang motosikal secara berbahaya dalam operasi berasingan di KM16 Lebuhraya Grand Saga dan KM8.8 Lebuhraya Persekutuan arah Klang.
“Ada antara mereka bersaing sesama sendiri dan melakukan pelbagai aksi seperti zig-zag dan superman,” katanya. – Malaysiapost

