KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) menafikan kononnya individu yang gagal menekan butang ‘check-out’ atau daftar keluar pada aplikasi MySejahtera akan didenda RM1,500.
KKM membuat penafian itu susulan penyebaran infografik palsu yang tular di media sosial sejak beberapa hari lalu.
“Grafik yang tular dalam WhatsApp ini adalah tidak benar. Tiada denda RM1,500 jika tidak “check out” dalam MySejahtera sebagaimana yang dinyatakan dalam grafik tersebut,” ciap KKM menerusi Twitter hari ini.

Terdahulu, tular infografik palsu di WhatsApp yang turut memaparkan foto Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin yang mendakwa kononnya individu yang tidak menekan butang daftar keluar menggunakan MySejahtera akan didenda RM1,500.
Bagaimanapun menurut KKM, penggunaan butang daftar keluar masih wajib diklik dan menasihatkan orang ramai mematuhi peraturan baru itu serta sentiasa mengemas kini aplikasi Mysejahtera semasa masuk dan keluar sesuatu premis.
Baru-baru ini, Khairy memaklumkan, mulai hari ini rakyat Malaysia harus menekan bukan sahaja butang daftar masuk tetapi juga butang daftar keluar ketika memasuki dan meninggalkan premis yang dikunjungi.
Beliau juga menambah, butang check-out telah ditambah pada aplikasi itu dan orang ramai hanya perlu menekan butang tanpa mengimbas ketika mereka meninggalkan setiap premis yang dikunjungi. – Malaysiapost

