Polis sedang memburu tiga tahanan warga asing yang melarikan diri ketika dikuarantin di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) Dewan Arena Belia, Jalan Utara dekat Tawau, tengah malam tadi.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas berkata kesemua tahanan melarikan diri pada jam 12.30 tengah malam dengan mengumpil kunci pagar dan memecahkan pintu tandas sebelum memanjat pagar di PKRC tersebut.
Katanya, mereka terdiri dua banduan warga Indonesia dikenali Niko Matheus, 25, dan Hasyim Mubamada Syata, 34, manakala seorang lagi warga Filipina, Jimnajir Amnor, 23.
Susulan itu beliau berkata polis melakukan ‘Op Tutup dan Kesan’ di beberapa jalan utama sekitar daerah itu termasuk di laut.
“Kita turut menubuhkan beberapa pasukan pengesan terdiri anggota pelbagai jabatan antaranya Jabatan Siasata Jenayah (JSJ) dan Narkotik bagi memburu kesemua banduan terbabit,” katanya.
Peter berkata, dua suspek berkenaan merupakan banduan yang sudah didakwa dan dijatuhi hukuman oleh mahkamah atas kesalahan jenayah termasuk Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka, Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen.
Seorang lagi suspek masih dalam perbicaraan Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya (reman).
Beliau menjelaskan, seramai 16 tahanan ditempatkan di PKRC berkenaan selepas didapati positif Covid-19 bagi menjalani kaurantin sebelum dihantar ke Penjara Tawau.
“Usaha mengesan suspek giat dijalankan oleh polis termasuk mendapatkan bantuan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM).
“Kes disiasat mengikut Seksyen 223 dan Seksyen 224 Kanun Keseksaan,” katanya.
Sehubungan itu, polis meminta orang awam yang mempunyai maklumat mengenai semua tahanan supaya menghubungi bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau di talian 089-772 121 atau mana-mana balai polis berhampiran.-Malaysiapost

