KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memberi jaminan akan menurunkan lagi harga Kit Ujian Pantas (RTK) Antigen Covid-19 sebelum hujung tahun ini.
Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata langkah itu bertujuan memastikan ia menjadi barang keperluan mampu milik dalam kalangan pengguna.
“Sebelum hujung tahun ini, tak lama lagi tinggal beberapa bulan saja lagi… KPDNHEP akan turunkan lagi harga kit ujian ini.
“Saya tak boleh sebut berapalah (harganya) tetapi kita akan turunkan lagi supaya jadi lebih mampu dimiliki oleh orang ramai sebab ini sudah jadi barang keperluan,” katanya hari ini.
Susulan itu Alexander berkata, pinggiat industri diminta mengambil maklum mengenai perkembangan ini dan tidak membuat dakwaan bahawa kerajaan mengambil keputusan tergesa-gesa dalam menetapkan harga siling RTK Antigen Covid-19.
“Saya minta tolong media jelaskan supaya tak ada lagi mana-mana pihak kata kita tak ambil kira kepentingan mereka dan merugikan peniaga.
“Kami di KPDNHEP memang bertekad nak bantu rakyat, kita tak kata peniaga tak penting, tapi peniaga boleh buat penyesuaian (dengan pengumuman awal oleh kerajaan),” katanya.
Khamis lalu, kerajaan menetapkan harga borong dan runcit maksimum RTK Antigen Covid-19 masing-masing dikawal pada RM16 dan RM19.90.
Harga siling itu berkuat kuasa hari ini dan penentuan harga itu dibuat mengikut kewajaran dan kesesuaian bagi penguatkuasaan yang lebih berkesan. – Malaysiapost

