Cerita itu tunggang-langgang, Megat nafi Ziyad lewat 28 minit

0
2

“SAYA menyangkal dakwaan laporan akhbar itu. Cerita yang diberikan sumber itu tunggang-langgang,” demikian ditegaskan Ketua Kontinjen Malaysia (CDM) ke Sukan Paralimpik Tokyo 2020, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin.

Beliau berkata demikian bagi menafikan sekeras-kerasnya laporan akhbar terbabit kononnya jaguh lontar peluru, Muhammad Ziyad Zolkefli lewat 28 minit ke venue pertandingan, Selasa lalu sehingga menyebabkannya terlepas pingat emas, lapor Bernama.

Malah Megat D Shahriman menegaskan, laporan akhbar tempatan pada Jumaat lalu yang memetik sumber kontinjen negara tidak tepat, selain tidak pernah memberi sebarang input kepada mana-mana pihak mahupun wartawan berkenaan.

Sehubungan itu, beliau berharap individu terbabit lebih bertanggungjawab kerana sebarang spekulasi yang tidak benar mampu menjejaskan proses siasatan melibatkan isu penarikan semula pingat emas Muhammad Ziyad.

Terdahulu, rayuan Malaysia untuk mengekalkan pingat emas diraih Muhammad Ziyad pada Paralimpik Tokyo 2020 Selasa lalu, ditolak dalam mesyuarat CDM.

Muhammad Ziyad mencatatkan 17.94 meter (m) pada lontaran ketiga sekali gus memecah rekod dunia 17.29m miliknya pada Kejohanan Olahraga Para Dunia di London 2017, sebelum ia dibatalkan berikutan bantahan oleh kontinjen Ukraine.

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi kenyataan pada Rabu lalu menyatakan Muhammad Ziyad lewat tidak sampai lima minit ke bilik menunggu menyebabkan penyertaannya dibatalkan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here