EMPAT Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dari Umno yang bertindak melompat parti ketika Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu tidak tercalon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
Mereka adalah Adun Pitas, Datuk Hamisa Samat, Datuk Osman Jamal (Balung), Datuk Muis Picho (Sebatik) dan Jamawi Jaafar (Kemabung).
Suara Merdeka melaporkan tempat mereka digantikan dengan Sufian Abdul Karim (Pitas), Hamild @ Hamid Awang (Balung) dan Datuk Raime Unggi (Kemabong).
Bagi Sebatik, kerusi itu akan ditandingi oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam gabungan Perikatan Nasional (PN).
PRN Sabah kali ini menyaksikan Umno mengemukakan 90 peratus calon muka baharu dalam 31 kerusi yang ditandinginya. Hanya dua orang calon lama iaitu Datuk Seri Bung Moktar Radin dan Datuk Seri Md Salleh Md Said.
Bung yang juga Pengarah Jentera Pilihan Raya Barisan Nasional (BN) itu akan bertanding di Lamag, sementara Md Salleh pula di Usukan.
Bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman dan bekas Ahli Parlimen Kota Belud, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan tidak tercalon dalam PRN kali ini.-Malaysiapost

