PKPD Pentadbiran di Kota Setar mula tengah malam ini

0
2

KERAJAAN akan menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (Pentadbiran) di 28 mukim di daerah Kota Setar, Kedah mulai jam 12.01 malam ini (11 September) hingga 25 September.

Berikutan itu kemasukan melalui pintu masuk antarabangsa di Bukit Kayu Hitam, Kedah dihentikan hingga tamat PKPD pentadbiran.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri, berkata feri dari jeti Kuala Kedah tidak dibenar beroperasi sepanjang PKPD Pentadbiran daerah Kota Setar dikuatkuasakan.

“Masjid diarah tutup, aktiviti sukan, sosial dan budaya dilarang manakala semua institusi pendidikan turut ditutup.

“Individu yang perlu keluar untuk bekerja tidak dibenarkan untuk keluar dari kawasan sepanjang tempoh PKPD secara Pentadbiran. 

“Majikan mereka diminta untuk mengambil maklum akan perintah ini dan membenarkan mereka yang terlibat untuk bekerja dari rumah (work from home),” katanya dalam sidang media, hari ini.

Menurut Ismail, semua taska, sekolah swasta dan kerajaan termasuk lain-lain institusi pengajian rendah, menengah dan pra-universiti juga diarahkan tutup sepanjang tempoh PKPD secara Pentadbiran.

Katanya, hanya premis perniagaan yang menyediakan perkhidmatan perlu sahaja (essential services) dibenarkan beroperasi seperti premis yang menyediakan perkhidmatan makanan seperti kedai makan dan warung serta stesen minyak, kedai runcit dan farmasi, klinik serta hospital sahaja.

“Restoran, kedai makan hanya boleh menggunakan kaedah take away (bawa balik) sahaja dan hanya boleh beroperasi dari jam 8 pagi hingga 8 malam.

“Hanya ketua keluarga atau seorang dari sebuah rumah sahaja dibenarkan untuk keluar bagi tujuan pembelian barang makan atau keperluan keluarga,” katanya. 

Beliau menambah, PKPD di Aman Jaya, Kedah dilanjutkan tiga hari sehingga 13 September bagi memastikan semua yang terlibat disaring oleh anggota KKM. –Malaysiapost