Kematian anggota tentera: TDM tidak ganggu siasatan

0
5

TENTERA Darat Malaysia (TDM)  tidak akan mengganggu siasatan yang sedang dijalankan polis berhubung kes kematian anggotanya, Abdul Aziz Aznam, Ahad lepas.

Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain berkata, sehingga hari ini tiada sebarang maklum balas daripada polis berkaitan kes tersebut.

“Tiada anggota TDM dipanggil, setakat ini, berhubung kes kematian Prebet Abdul Aziz,” katanya seperti dilaporkan Bernama, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, pada 29 Ogos lalu, Abdul Aziz, 20, mengalami kecederaan parah di kepala dan badan selepas dipercayai jatuh dari tingkat tiga bangunan kediaman di sebuah kem di Batu Pahat, Johor.

Mangsa yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Nora Ismail di Batu Pahat bagaimanapun menghembuskan nafas terakhir pada jam 2.30 petang Ahad lalu.

Abang Allahyarham, Mohamad Amirul Naim, 22, dilaporkan mendakwa Abdul Aziz pernah mengadu kepada keluarga bahawa dirinya sering menjadi mangsa buli ketika berada di kem tentera itu. –Malaysiapost