Nilam Oshman
DI SEBALIK kelonggaran diberikan kerajaan terhadap individu yang telah lengkap dua dos vaksinasi, suasana di lokasi tumpuan sekitar ibu kota masih lengang.
Kemungkinan warga kota masih bimbang untuk keluar ke tempat-tempat tumpuan awam berikutan jangkitan Covid-19 yang masih tinggi khususnya di Lembah Klang.
Tinjauan Malaysiapost di beberapa lokasi seperti Jalan Tunku Abdul Rahman, Sogo, Bukit Bintang dan KLCC semalam mendapati suasana masing lengang.
Tidak ramai warga kota keluar untuk cuci mata dan membeli-belah kecuali mencari barangan perlu sahaja.

Bagaimanapun, rata-rata pengunjung yang ditemui gembira dan bersyukur kerana dapat menikmati kembali ‘kebebasan’ selepas berbulan-bulan berkurung di rumah akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Mereka turut bersetuju dengan keputusan kerajaan memberi kelonggaran pergerakan kepada individu yang melengkapkan dua dos vaksinasi Covid-19.
Pengunjung, Ramli Maadah meluahkan rasa lega atas kelonggaran diberikan kerajaan, namun berharap orang ramai termasuk yang mereka lengkap dua dos vaksin terus mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) supaya dapat memutuskan penularan Covid-19.
“Rasa lega boleh keluar, terima kasih kepada kerajaan kerana berikan kelonggaran tapi yang penting SOP jangan diabaikan,” katanya.
Katanya, ini masa yang sesuai kelonggaran dibuat, walaupun dilihat terlalu awal dan kes jangkitan serta kematian akibat Covid-19 masih tinggi, namun usaha kerajaan mempertingkatkan kadar vaksinasi amat menyakinkan dan kemungkinan peluang untuk mencapai imuniti kelompok hampir pasti.
“Awal juga (kelonggaran kepada mereka lengkap dua dos vaksin) tetapi berapa lama kita nak berkurung dengan kes masih lagi banyak,” katanya.

Seorang lagi pengunjung yang hanya mahu dikenali sebagai Rosni pula berkata beliau seronok kerana dapat keluar membeli-belah.
“Sekurang-kurangnya boleh tengok keadaan di luar. Kalau kita tak keluar, bila lagi? Apa nak jadi dengan kita? Macam mana pun kena keluar juga. Tetapi syarat lengkap dua dos vaksin, ikut arahan kerajaan dengan mematuhi SOP,” katanya.
Sementara seorang lagi pengunjung, Dzuraini hamzah mengakui teruja kerana dapat melihat semula suasana sekitar ibu kota, namun menjelaskan beliau keluar kerana mencari barangan untuk perkahwinan anaknya.
“Saja-saja keluar tidaklah, ini pun beli barang kahwin anak, bergantung kepada keadaan, sekarang ini kes pun tinggi lagi.. keluar bila perlu,” katanya.


Sebelum ini kerajaan mengumumkan yang telah lengkap vaksinasi di negeri-negeri Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN) dibenarkan memasuki 11 jenis premis sektor perdagangan dan pengedaran.
Ia meliputi kedai cuci kenderaan, elektrik dan elektronik, barang rumah dan peralatan dapur, perabot, peralatan sukan, aksesori kenderaan, jualan kenderaan serta pakaian dan fesyen.
Selain itu, kedai barang kemas, gunting rambut dan salun kecantikan serta pasar pagi dan pasar tani, berkuatkuasa 16 Ogos lalu.
Setakat kelmarin menunjukkan jumlah vaksinasi di Lembah Klang membabitkan Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya merekodkan pemberian vaksin tertinggi iaitu 6,915,952 penerima dos pertama dan 5,854,226 penerima lengkap dua dos. – Malaysiapost

