Covid-19: Maritim bantu pindah 17 penduduk Pulau Tioman

0
2

SERAMAI 17 penduduk Pulau Tioman dipindahkan ke Pusat Kuarantin Kuala Rompin, Pahang, kelmarin selepas menjadi kontak rapat pesakit Covid-19.

Proses pemindahan itu dilakukan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Pahang menggunakan Kapal Maritim (KM) Tatau.

Pengarah Maritim Pahang, Laksamana Pertama Maritim Datuk Amran Daud berkata, pemindahan perubatan (MEDEVAC) itu dilakukan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan, dengan kesemua pegawai dan anggota lengkap berpakaian perlindungan diri (PPE).

Menurutnya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengeluarkan arahan supaya individu-individu terbabit dikuarantinkan di pusat tersebut.

“Justeru, pihak kami dihubungi oleh Klinik Kesihatan Pulau Tioman bagi mendapatkan bantuan logistik memindahkan 17 individu berkenaan ke Jeti Pos Maritim Teluk Gading, di sini,” katanya dalam kenyataan di Facebook rasmi Maritim Malaysia.

Beliau berkata, pihaknya tiba di kira-kira jam 12 tengah hari di lokasi tersebut.

“KM Tatau yang membawa 17 individu dikuarantin berkenaan mengambil masa tiga jam perjalanan untuk sampai ke Jeti Pos Maritim Teluk Gading.

“Sejurus tiba, kapal dan anggota Maritim Malaysia yang bertugas kemudiannya disanitasi dengan bantuan daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM),” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here