KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) memperuntukkan RM2.4 juta kepada empat sekolah di daerah Yan, Kedah yang terjejas akibat banjir pada 18 Ogos lalu.
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Radzi Jidin berkata, peruntukan itu untuk membaikpulih kerosakan dan menggantikan aset yang terjejas di sekolah-sekolah terbabit.
“Saya telah melawat dan meneliti keadaan empat buah sekolah terbabit. Setelah diberikan penerangan oleh pihak berwajib, saya mengumumkan peruntukan sebanyak RM2.4 juta bagi tujuan pembaikan sekolah-sekolah terbabit.

“Sekolah-sekolah tersebut adalah Sekolah Menengah Kebangsaan Yan, Sekolah Kebangsaan (SK) Langkasuka, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina York Khoon dan SK Nyak Gam.
“Antara kerosakan yang telah dikenalpasti dan perlu diperbaiki atau diganti dengan segera adalah pagar, tandas, bilik darjah, kerusi dan meja murid, perabot serta peralatan sekolah,” katanya menerusi Facebook.
Sehubungan itu, beliau mengarahkan kementerian dan Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) untuk segera membaikpulih setiap kerosakan dan membuat penggantian aset yang terjejas teruk kesan daripada bencana alam tersebut.
Katanya, penyaluran peruntukan akan dibuat secara berperingkat kepada JPN dengan memberi keutamaan kepada sekolah menengah yang akan dibuka untuk sesi pembelajaran secara bersemuka dalam masa terdekat.
Semalam, Radzi mengesahkan sesi persekolahan secara bersemuka akan tetap dilaksanakan pada 3 Oktober ini.
Bagaimanapun, katanya, sesi berkenaan tidak akan melibatkan negeri-negeri yang masih berada di dalam Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN). – Malaysiapost

