
MELAKA membenarkan 500 jemaah hadir ke masjid kerajaan di negeri itu bagi solat Jumaat, fardu dan solat jenazah bermula esok susulan peralihan ke Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN), hari ini.
Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Datuk Che Sukri Che Mat, berkata walaupun dibenarkan menerima sehingga 500 jemaah, jumlah yang dibenarkan tetap bergantung kepada keluasan masjid.
“Selain masjid kerajaan, penambahan bilangan jemaah turut diberikan kepada masjid kariah, institusi dengan jumlah 200 orang serta surau 100 orang.
“Ia bergantung kepada keluasan premis dengan penjarakan fizikal 1.5 meter. Contohnya, jika penjarakan fizikal hanya mampu menampung 300 jemaah, maka jumlah maksimum adalah 300 sahaja,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Belai berkata, kebenaran solat berjemaah dan aktiviti pengimarahan juga hanya dibenarkan kepada warganegara dan penduduk tetap, manakala warga asing masih tidak dibenarkan menyertai sebarang aktiviti di masjid mahupun surau.
“Kanak-kanak bawah 12 tahun juga tidak digalakkan hadir,” katanya.
Che Sukri berkata, jawatankuasa masjid dan surau hendaklah memastikan sistem pengudaraan yang baik bagi mengelakkan risiko jangkitan Covid-19 dalam kalangan jemaah.
Sementara itu, beliau berkata, pertambahan kehadiran dalam majlis akad nikah di masjid kariah negeri dan Pejabat Agama Islam Daerah turut dibenarkan.
“Kehadiran di masjid kariah tidak melebihi 23 orang membabitkan 20 ahli keluarga pasangan pengantin termasuk wali,
“Manakala di Pejabat Agama Islam Daerah pula tidak melebihi 13 orang membabitkan 10 ahli keluarga pasangan pengantin termasuk wali,” katanya.
Khamis lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan, Melaka beralih kepada Fasa 2 PPN manakala Negeri Sembilan ke Fasa 3 bermula hari ini.
Beliau berkata, keputusan itu dibuat menerusi Sidang Khas Pengurusan Pandemik Covid-19, kelmarin. – Malaysiapost
