Ajaran PMYT: Polis sudah ambil keterangan ‘Sittah Annur’

0
2

POLIS mengesahkan sedang menjalankan siasatan lanjut terhadap wanita yang juga pemilik akaun Facebook Masitah Ab Jalar atau dikenali dengan nama Sittah Annur kerana dipercayai ada kaitan dengan kumpulan ajaran ‘Perjalanan Mimpi Yang Terakhir’ (PMYT).

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan, berkata kini siasatan menjurus kepada penularan rakaman video mengandungi kenyataan yang menyentuh akidah serta ajaran Islam melalui laman sosial YouTube menggunakan nama Cahaya Islam dan Sittah An Nur PMYT serta di pelbagai platform media sosial lain sejak beberapa hari lalu.

Katanya, antara kandungan rakaman video yang tular adalah pengakuan wanita terbabit yang mendakwa dirinya boleh berhubung terus dengan Allah SWT, malaikat dan Nabi Muhammad SAW.

“Wanita ini mendakwa mimpi perjalanan terakhir diturunkan kepada dirinya sebagai panduan untuk umat yang lain dan sesiapa yang menyakiti atau menghalang dirinya dari menyampaikan ajaran boleh dicabut nyawa oleh Allah SWT.

“Suspek ini dikenal pasti serta sudah diambil keterangan dan pada masa ini PDRM dalam usaha mengesan serta mengenal pasti individu lain yang terbabit bagi melengkapkan siasatan,” katanya dalam kenyataannya hari ini.

Abd Jalil berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan kerana menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan atau permusuhan, benci membenci atau niat jahat atau memudaratkan pemuliharaan keadaan harmoni atau perpaduan atas alasan agama.

Beliau menjelaskan, siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penyalahgunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian dan lain-lain.

Sebelum ini, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani dilaporkan berkata, pihak polis sedang mengumpul maklumat berkaitan ajaran PMYT dikembangkan Sittah Annur yang dipercayai bertentangan dengan ajaran Islam sebenar.

Beliau memaklumkan, pihaknya sedar akan perkara seperti itu dan ia bukan perkara baru.

Katanya, siasatan perlu diteliti dan akan mengumpul segala maklumat selengkap-lengkapnya apakah ajaran yang mereka bawa kerana ia membabitkan jabatan lain. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here