Kuota pelajar bukan bumiputera di MRSM dimansuhkan?

0
2

PELAJAR bukan bumiputera didakwa tidak lagi boleh memohon untuk kemasukan ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) bermula sesi 2020 susulan perubahan polisi kerajaan.

Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching dan bekas Timbalan Menteri Pembagunan Luar Bandar, R Sivarasa dalam satu kenyataan bersama mendakwa tiada lagi kuota 10 peratus pelajar bukan Bumiputera bagi kemasukan ke MRSM melalui polisi baharu itu.

“Kenyataan ini tidak berniat untuk membelakangkan hak-hak golongan bumiputra di Malaysia. Namun, ia bertujuan membawa tumpuan kepada peluang yang harus diberikan kepada golongan bukan bumiputra di Malaysia.

“Kami difahamkan ramai pelajar-pelajar yang ingin memohon untuk memasuki MRSM sudah tidak lagi berupaya melakukan demikian, disebabkan oleh pertukaran polisi kerajaan yang berkuatkuasa untuk permohonan MRSM tahun 2022,” menurut kenyataan bersama berkenaan.

Menurutnya, pada 2002, sejajar dengan polisi kerajaan untuk meningkatkan elemen perpaduan di institusi pendidikan, kuota 10 peratus untuk golongan bukan bumiputera telah diwujudkan.

“Oleh itu, sejak tahun 2002, MRSM telah menerima pendaftaran pelajar dari semua sekolah di Malaysia samada sekolah aliran kerajaan mahupun swasta.

“Adalah penting untuk masyarakat sedar bahawa walaupun kuota MRSM sebanyak 10 peratus diberikan kepada golongan bukan bumiputera, sebelum 2018 didapati hanya satu ke dua peratus sahaja pelajar bukan bumiputera yang mengisi kuota,” katanya.

Menurut mereka, berdasarkan data daripada Yayasan Iltizam Malaysia permohonan pelajar bukan bumiputera untuk sesi kemasukan MRSM 2019, lebih kurang 3,100 permohonan dan bagi sesi 2020, difahamkan meningkat hampir 4,000 permohonan.

“Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) dan Menterinya Datuk Seri Mahdzir Khalid harus mempertimbangkan prinsip akses pendidikan kepada semua.

“Buka semula kepada pelajar-pelajar yang layak dari kategori sekolah yang dihalang sekarang khususnya Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC),” katanya.

Kata mereka, peluang 10 peratus berkenaan tidak merugikan pelajar-pelajar bumiputera atau menidakkan hak mereka untuk belajar di MRSM.

“Kuota ini adalah kuota tambahan yang lazimnya tidak dapat dipenuhi. Maka, apa salahnya jika dibuka kepada sekolah-sekolah aliran lain?

“Ungkapan ‘Keluarga Malaysia’ yang diwar-warkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hanya akan merupakan retorik dan sia-sia kalau dasar ini diteruskan oleh KPLB.” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here