SEORANG Tukang cuci sambilan yang dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kangar semalam kerana mencuri tabung dan wang bernilai RM40 di Masjid Sirajuddin, di Padang Besar, sudah dibebaskan dengan ikat jamin.
Nor Amira Roslan, 28, ditahan di lokap Balai Polis Kaki Bukit, Padang Besar kerana gagal membayar wang jaminan sebanyak RM2,000 seperti ditetapkan mahkamah dibebaskan selepas jaminan dibayar Ketua Bersatu Perlis, Abu Bakar Hamzah, hari ini.
Dia bagaimanapun tetap perlu menghadiri sebutan semula kes mahkamah yang sama pada 4 Oktober hadapan.
Nor Amira ketika ditemui memohon maaf terhadap perbuatannya dan berjanji tidak melakukannya lagi.
“Saya meminta maaf atas kesilapan saya lakukan dan berjanji tidak akan lakukan. Segala bantuan pelbagai pihak untuk mulakan hidup baru sangat saya hargai.
“Selain itu, saya juga ucapkan jutaan terima kasih terutama kepada Encik Abu Bakar yang sudi menjamin saya. Syukur saya masih diberi peluang untuk buka ‘buku’ baru.
“Selain itu, keprihatinan rakyat Malaysia juga amat dihargai,” katanya seperti dilapor Harian Metro.
Sementara itu, Abu Bakar berkata, pembayaran wang jaminan Nor Amira itu dilakukan sebagai keprihatinan Bersatu Perlis dalam melihat isu yang sedang berlaku di negeri itu pada waktu ini.
“Kami mendapat arahan daripada kepimpinan Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan dibantu oleh Setiausaha Agung, Datuk Seri Hamzah Zainuddin yang meminta kes ini diselesaikan segera.
“Jadi, dalam semangat kekeluargaan ini, kita mahu isu ini diselesaikan segera terutama dalam keadaan pandemik Covid-19 ini,” katanya.
Proses pembayaran wang jaminan itu turut dihadiri peguam Zuhair Ahmad Zakuan dan Syed Muhammad Anwar Syed Lokman Hakim.
Terdahulu, Nor Amira tiba di mahkamah pada jam 12.50 tengah hari diiringi anggota polis sebelum pembebasannya dilakukan. – Malaysiapost
Kredit Foto: Utusan Malaysia

