PRN Sabah: Salleh Said Keruak buat kemunculan semula

0
3

BEKAS Ketua Menteri, Datuk Seri Salleh Said Keruak membuat kemunculan semula selepas diumum calon Barisan Nasional (BN) mewakili UMNO di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Usukan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, 26 September ini.

Salleh pernah menyandang kerusi itu beberapa penggal sebelum berpindah ke Parlimen Kota Belud.

Nama bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia itu antara 31 calon UMNO Sabah yang diumumkan Pengerusinya, Datuk Seri Bung Moktar Radin pada sidang media selepas Majlis Ramah Mesra Pemimpin BN dan Bersatu di Kota Kinabalu, hari ini.

Bagaimanapun, nama seorang lagi bekas Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman tiada dalam senarai, sebaliknya kerusi DUN Sungai Sibuga yang disandangnya ditandingi muka baharu, Mohd Hamsan Awang Supain.

Mengulas mengenai ketiadaan nama Musa, Bung Moktar berkata, Musa tidak memohon untuk bertanding pada PRN kali ini.

Turut tidak tersenarai ialah Ahli Majlis Tertinggi Umno yang juga Ketua Umno Tuaran, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan.

Beliau sebelum ini disebut-sebut bakal bertanding di kerusi baharu DUN Pantai Dalit yang bakal ditandingi seorang lagi muka baharu, Jasnih Daya.

Seorang lagi pemimpin Umno yang membuat kemunculan semula ialah Datuk Kamarlin Ombi di DUN Lumadan. Beliau menyandang kerusi itu selama dua penggal sebelum digugurkan pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.

Bung Moktar turut mengumumkan beliau akan bertanding kerusi baharu DUN Lamag, manakala timbalannya, Datuk Yakub Khan di kerusi baharu DUN Karambunai.

Dua bekas Ahli Parlimen BN daripada UMNO turut dicalonkan semula iaitu Datuk Raime Unggi di kerusi Kemabong dan Datuk Jumat Idris di kerusi baharu DUN Darau.

Raime, Ketua Penerangan UMNO Sabah sebelum ini pernah menjadi Ahli Parlimen Tenom, manakala Jumat, Ahli Parlimen Sepanggar.

Turut tersenarai ialah penyandang kerusi DUN Sugut, Datuk James Ratib.

Beliau antara wakil rakyat Umno yang meninggalkan parti itu selepas PRU lalu dan menyertai Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (Upko) sebelum keluar pada Jun lalu.

Sebahagian besar calon yang dikemukakan Umno adalah muka baharu, dengan dua wanita iaitu Hazulizah Md Dani di DUN Sekong dan Chaya Sulaiman di Kukusan.

Secara keseluruhan, 31 kerusi yang ditandingi Umno ialah Banggi, Bengkoka, Pitas, Tempasuk, Usukan, Pantai Dalit, Karambunai, Darau, Tanjung Aru, Tanjung Keramat, Pantai Manis.

Selebihnya ialah Bongawan, Lumadan, Sindumin, Kemabong, Telupid, Sugut, Gum-Gum, Sungai Manila, Sungai Sibuga, Sekong, Kuamut, Lamag, Sukau, Tungku, Kunak, Sulabayan, Balung, Kukusan, Tanjung Batu dan Paginatan.

Foto Kredit: Umno Online