JABATAN Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Kuala Lumpur mengesan taktik sindiket penipuan yang menyasarkan wanita bekerjaya terutama ibu tunggal yang kesunyian dan menyebabkan kerugian lebih RM1.64 juta sejak Januari hingga Ogos lalu.
Ketua JSJK Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Mahidisham Ishak, berkata statistik menunjukkan bagi tempoh Januari hingga 31 Ogos lalu, sebanyak 115 kertas siasatan membabitkan kes penipuan bungkusan atau parcel scam telah dibuka.
Menurutnya, terbaharu tiga laporan diterima membabitkan taktik penipuan sama daripada tiga ibu tunggal yang berkenalan dengan individu melalui media sosial.
“Ketiga-tiga mangsa adalah ibu tunggal yang mana kenalan alam maya telah memaklumkan ada menghantar bungkusan dari luar negara.
“Mangsa kemudian diminta membayar sejumlah wang bagi tujuan kos penghantaran bungkusan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, bungkusan yang dijanjikan itu tidak diterima dan kes berkenaan mengakibatkan kerugian sebanyak RM31,500.
Menurutnya, kes kini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan polis mengingatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dengan kenalan melalui media sosial.
“Jangan mudah terpedaya dengan tawaran bungkusan dan melakukan transaksi tanpa usul periksa.
“Sebarang jenayah atau aktiviti yang mencurigakan hubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2146 0584/0585 atau mana-mana Balai Polis berhampiran,” katanya. – Malaysiapost

