PENDAKWAH, Ebit Lew semalam berkongsi pertemuannya dengan Saiful Apek sambil mengajak pelawak terkenal itu meneruskan kerja dakwa.
Perkara tersebut dikongsi Ebit menerusi satu hantaran di Facebooknya dengan memuatnaik sekeping gambar bersama bekas anggota kumpulan pelawak popular, Senario itu.
“Kita tidak hidup untuk pujian dan penghormatan orang. Kita hidup untuk Allah sayang. Tiada yang boleh beri hina dan mulia melainkan Allah. Tiada yang berkuasa selain Allah. Dialah pemilik segala-galanya.
“Baik sangat abang Saiful Apek. Terima kasih abang. Insya-Allah sama-sama kita meneruskan kerja dakwah dan kasih sayang ini. Cinta luar biasa,” katanya.
Sebelum ini Saiful Apek atau nama sebenarnya Mohd Saifulazam Mohammad Yusoff pernah mencuri tumpuan netizen ketika mengulas isu melibatkan Ebit bersama Caprice dan Muhammad Nadir Al-Nuri.
“Kalau semuanya mudah dan tidak diuji, itu bukan dunia namanya tetapi syurga.
“Namun demi kebenaran dan kasih sayang, kita perlu pertahankan. Jika jatuh kerana manusia, bangunlah kerana Allah SWT dan semoga dipermudahkan segala urusan,” tulisnya di bawah satu hantaran di Facebook Ebit ketika itu.
Sementara itu dalam satu hantaran berasingan, Ebit berkongsi mengenai pertemuannya dengan tiga penyanyi terkenal, Sufian Suhaimi, Khai Bahar dan Syafiq Farhain.
“Terharu rasa dapat berkongsi dalam fikir iman dan akhirat. Niat nak hidupkan kebaikan dan kasih sayang dalam umat serta misi kemanusiaan.
“Baik sangat dan lemah lembut dalam pertuturan. Tiga penyanyi terkenal dan baik. Bila berbual dengan mereka terasa dekat sangat walau kali pertama dapat berbual panjang. Allah beri mereka kelebihan yang besar. Allahuakbar.
“Baik sangat rasa. InsyaAllah banyak kerja dalam membangunkankan ummah bersama. Doakan ya semoga menjadi asbab kebaikan,” katanya. – Malaysiapost

