Menteri kecewa pengedalian kes pingat emas Ziyad ditarik balik

0
2

MENTERI Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu kecewa dengan cara pengendalian kes pembatalan pingat emas dimenangi jaguh lontar peluru para negara, Muhammad Ziyad Zolkefli di Sukan Paralimpik Tokyo 2020.

Ahmad Faizal berkata jawatankuasa penganjur terdiri Olahraga Para Dunia (WPA) dan Majlis Paralimpik Antarabangsa (IPC) tidak memberi pertimbangan sewajarnya jika benar Ziyad dan dua lagi atlet dari Ecuador serta Australia lewat memasuki bilik menunggu.

“Apatah lagi atlet itu sudah bersedia menunggu selama lima tahun tetapi harapan dan semangat paralimpik mereka dimusnahkan kerana kelewatan tidak sampai pun lima minit sahaja.

“Bukan kepada seorang sahaja atlet tetapi membabitkan tiga atlet dari tiga negara dan ini adalah sesuatu yang amat mendukacitakan,” katanya hari ini.

Ahmad Faizal berkata, beliau sudah meminta Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Datuk Ahmad Shapawi Ismail mendapatkan laporan awal insiden dan meminta jawatankuasa siasatan digerakkan bersama Majlis Paralimpik Malaysia.

Menurutnya, langkah itu bagi menyediakan pelan tindakan dalam hal bantahan dan mengelakkan insiden saa berulang pada masa depan.

“Saya ingin menggesa semua pihak tidak menuding jari mencari kesalahan sesiapa dalam hal ini tetapi paling penting IPC dan WPA melihat semula peraturan yang memerlukan kebijaksanaan dalam menguruskannya.

“Saya juga ingin menyeru rakyat Malaysia terus menyokong Ziyad dalam mengharungi dugaan ini dan menyokong atlet negara yang masih bertanding di Tokyo,” katanya.

Terdahulu, rayuan Malaysia mengekalkan pingat emas yang diraih Muhammad Ziyad ditolak dalam mesyuarat
ketua kontinjen (CDM).

Muhammad Ziyad mencatatkan 17.94 meter pada lontaran ketiga untuk meraih emas, sekali gus memecah rekod dunia 17.29m miliknya sendiri yang dilakukan pada Kejohanan Olahraga Para Dunia di London 2017.

Difahamkan, kem Ukraine melakukan protes berikutan tiga atlet iaitu Muhammad Ziyad, Todd Hodgetts (Australia) dan Jordi Patricio (Ecuador) dikatakan lewat memasuki bilik panggilan sebelum acara dimulakan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here