
KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan akan menyampaikan maklumat berkaitan Covid-19 dengan lebih terperinci kepada umum bermula minggu hadapan.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata usaha tersebut bagi meningkatkan lagi ketelusan KKM dalam membekalkan data berkenaan virus tersebut.
“Saya sudah buat ketetapan supaya budaya kerja di KKM selepas ini lebih kepada ketelusan supaya soal kepercayaan kepada kerajaan dan maklum balas KKM kepada pandemik ini, tiada lagi tuduhan kerahsiaan atau tembok maklumat yang tidak dapat diperoleh dari kerajaan,” katanya pada sidang media hari ini.
Beliau berkata, kerajaan juga akan mengumumkan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 baharu supaya mudah difahami dan tidak merumitkan dalam mempraktikkannya apabila fasa endemik dilaksanakan tidak lama lagi.
Katanya, kerajaan dan rakyat perlu menerima hakikat bahawa norma baharu menjadi sebahagian daripada kehidupan baharu semua rakyat negara ini.
Jelas Khairy lagi, walaupun semua sudah divaksin, namun rutin kehidupan semua perlu berubah dalam membolehkan lebih banyak sektor dapat dibuka manakala kehidupan kembali sedia kala.
“Biarpun langkah baharu akan diumumkan tetapi Kementerian Kesihatan tiada perancangan melonggarkan pemakaian pelitup muka kerana berdasarkan pengalaman negara lain yang melonggarkannya terpaksa menguatkuasakannya semula susulan kemunculan varian baharu.
“Selain itu, kerajaan akan menggandakan usaha imunisasi dalam kalangan penduduk di negara ini bagi memastikan seramai mungkin mendapat vaksin dalam usaha mengurangkan risiko yang lebih teruk,” katanya
Sementara itu, Khairy berkata, KKM akan mempertingkatkan ketelusan dengan mempamerkan maklumat data penuh kepada orang ramai dalam membolehkan semua pihak dapat mengaksesnya.
“Bermula minggu hadapan, semua data akan dipamerkan dan kali ini, data yang diberikan adalah melebih data yang sedia ada seperti yang dipamerkan selama ini.
“Ini bagi memastikan tiada tuduhan bahawa kementerian menyembunyikan fakta dan melindungi kerahsiaan melibatkan Covid-19,” katanya. – Malaysiapost
