Merdeka tiada makna selagi Melayu terus tercorot

0
1

SITUASI politik negara yang terlalu rapuh hari ini mencetuskan kebimbangan kepada orang Melayu yang semakin jauh tercicir dalam pelbagai aspek kelangsungan hidup.

Majlis Perundingan Melayu (MPM) dan Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (Dewan Melayu) dalam kenyataan bersama, berkata perkara itu perlu diberi perhatian oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menurut kenyataan itu, situasi orang Melayu yang parah seharusnya menimbulkan keinsafan kepada kerajaan baharu agar mencontohi kualiti, semangat serta tekad kepimpinan terdahulu.

“Walaupun kerajaan telah berjaya dibentuk, kami terus bimbang melihat situasi politik negara yang terlalu rapuh pada hari ini.

“(Ia) sudah tentu akan memberi tekanan kepada komposisi kaum terbesar di Malaysia yang semakin jauh tercicir dalam perbagai aspek kelangsungan hidup.

“Perdana menteru harus mencontohi kualiti, semangat serta tekad kepimpinan terdahulu yang tidak akan berkompromi khususnya dalam melindungi hal-ehwal serta kepentingan pribumi, dan tidak akan sesekali meminggirkan mereka dalam apa jua agenda pembangunan negara,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, hakikat yang mesti diterima kerajaan ialah ekonomi Bumiputera sudah sekian lama berada pada tahap tertekan, dan kini ditambah pula dengan impak pandemik yang amat membinasakan. 

“Tidak cukup dengan itu, orang Melayu hari ini juga sudah mengemis tanah, sudah tercampak keluar dari bandar-bandar kesan daripada tindakan “gentrifikasi” yang sistematik.

“Pakatan MPM-Dewan Melayu berpandangan bahawa keadaan yang sedang dihadapi orang Melayu amat meruncing sekali. 

“Sekiranya kuasa politik yang semakin pudar ini tidak diperkukuhkan, maka kemerdekaan ke-64 yang disambut tidak akan memberi apa-apa makna dan kita seharusnya berasa malu kerana telah mengkhianati perjuangan leluhur Melayu terdahulu,” katanya.

Sehubungan itu, MPM dan Dewan Melayu menggesa kerajaan agar lebih serius memastikan agenda memartabatkan kembali bangsa Melayu dan Bumiputera dalam apa jua ikhtisas dimuktamadkan secepat mungkin. 

“Agensi dan badan-badan kerajaan yang bertanggungjawab memperkasa sosio-ekonomi Melayu serta Bumiputera mesti dirombak sekiranya terus-terusan gagal melaksanakan amanah mereka.

“Peranan pertubuhan-pertubuhan Melayu dalam menggerakkan massa bagi menentang Malayan Union dan saki-baki kolonialisme, menyatu-padukan bangsa, dan menuntut kemerdekaan adalah fakta sejarah yang tidak boleh dinafikan oleh sesiapa pun,” katanya.

Menurut kenyataan itu, kerajaan baharu tidak mempunyai banyak masa untuk mengembalikan keyakinan orang Melayu, melainkan dengan mengambil kira pandangan NGO-NGO Melayu yang lebih memahami denyut nadi rakyat.

“Sekiranya pemimpin dan parti-parti politik Melayu terus berantakan, maka tidak mustahil mereka akan ditolak oleh bangsa mereka sendiri menjelang PRU-15 nanti,” katanya. 

Kenyataan bersama itu dikeluarkan Presiden Dewan Melayu, Abdul Halim Husin dan Setiausaha Agung MPM, Datuk Dr Hasan Mad. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here