
Pembayaran fasa satu Bantuan Khas Covid-19 (BKC) yang terlewat sebulan akan dibayar secara berperingkat, bermula 6 September ini.
Perkara itu dimaklumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang menjelaskan proses pengkreditan fasa satu BKC akan mengambil masa beberapa hari dan dijangka selesai pada 10 September ini.
“Saya mengambil maklum isu kelewatan bayaran BKC yang sepatutnya dilaksanakan pada Ogos lalu. Oleh itu, saya mengarahkan Kementerian Kewangan menyegerakan pembayaran BKC.
“Hari ini dana berjumlah RM3.1 bilion telah disalurkan kepada institusi perbankan yang berkaitan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Ismail Sabri berkata, BKC akan memanfaatkan 10 juta penerima terdiri kategori miskin tegar, B40 dan M40 serta golongan bujang yang berkelayakan.
“BKC merupakan sebahagian inisiatif Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH), selain bayaran tambahan kepada pakej rangsangan ekonomi.
“Pada 28 Jun 2021, kerajaan telah mengumumkan Pakej PEMULIH sebagai antara inisiatif pemberian bantuan menyeluruh kepada rakyat dalam mengharungi kesan akibat pandemik Covid-19,” katanya.
Pada masa sama, Ismail Sabri memaklumkan pembayaran BKC seterusnya akan dilaksanakan mengikut jadual ditetapkan.
“Saya sentiasa peka terhadap keluh-kesah rakyat dan berharap pembayaran BKC ini sedikit sebanyak meringankan beban rakyat yang terkesan akibat Covid-19.
“Kerajaan terus komited memastikan kesejahteraan Keluarga Malaysia, terutamanya kumpulan sasar,” katanya. – Malaysiapost
