‘Jadikan pelan 100 hari perangi Covid-19 agenda utama ‘ – Kit Siang

0
1
Kredit: Twitter LKS

VETERAN DAP, Lim Kit Siang berkata, kerajaan perlu memanfaatkan pelan 100 hari dengan menjadikan usaha melawan Covid-19  sebagai perkara paling penting untuk dilaksanakan.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu, berkata kerajaan tidak boleh menjadikan Malaysia sebagai negara yang mempunyai prestasi terburuk dalam menangani wabak Covid-19.

“Malangnya, prestasi Malaysia dalam perang melawan wabak Covid-19 dalam tempoh setahun lalu amat bercelaru, dengan Malaysia menjadi salah satu negara dengan prestasi terburuk,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Kit Siang berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika ketika menyampaikan perutusan Hari Kebangsaan semalam, berharap sambutan tahun ini akan menjadi yang terakhir negara diselubungi wabak Covid-19.

“Dua persoalan timbul: Pertama, di manakah pelan 100 hari untuk memastikan sambutan Hari Kebangsaan ke-65 pada 31 Ogos 2022 tidak lagi diselubungi wabak Covid-19?

“Terdapat banyak aspek berkaitan dasar, strategi dan pendekatan dalam perang melawan wabak Covid-19 selama 20 bulan yang harus diperbaharui dan salah satunya adalah dasar berkaitan komunikasi.

“Kedua, Ismail seolah-olah tidak sedar yang ia bukanlah dalam lingkungan kemampuan Malaysia untuk menentukan sama ada kita akan menyambut Hari Kebangsaan ke-65 dalam keadaan yang masih diselubungi wabak Covid-19, kerana keadaan itu bergantung kepada dua faktor: Prestasi Malaysia dalam perang melawan wabak Covid-19 dan juga prestasi global,” katanya.

Mengulas lanjut, Kit Siang berkata, sambutan Hari Kebangsaan ke-63 pada 12 bulan yang lalu, Malaysia hanya mencatatkan kes Covid-19 terkumpul sebanyak 9,340 dengan jumlah keseluruhan kes kematian akibat wabak ini sebanyak 127.

“Pada sambutan Hari Kebangsaan ke-64 semalam, kita mempunyai 1,746,254 juta kes Covid-19 dan 16,664 kematian — peningkatan yang amat dahsyat, sebanyak 187 kali ganda untuk jumlah kes terkumpul dan peningkatan sebanyak 130 kali ganda untuk jumlah kematian.

“Pada kadar peningkatan 187 dan 130 kali ganda kadar jangkitan terkumpul dan kadar kematian terkumpul dalam 12 bulan yang lepas, menjelang sambutan Hari Kebangsaan ke-65, kita akan menyaksikan 327 juta kes Covid-19 dan 2.2 juta kematian akibat wabak ini,” katanya.

Beliau berkata, prestasi Malaysia dalam menangani perang melawan Covid-19 begitu teruk untuk meninggalkan sebarang kesan yang ketara terhadap tahap prestasi di peringkat global.

“Perang melawan wabak Covid-19 tidak boleh dimenangi oleh seseorang individu atau sesebuah negara secara bersendirian, kerana tiada yang selamat sehinggalah semua terselamat.

“Meskipun Malaysia tidak dapat meninggalkan kesan positif terhadap prestasi global dalam menangani wabak Covid-19.

“Kita tidak harus menjadi salah sebuah negara di dunia dengan prestasi terburuk dalam perang melawan pandemik Covid-19 — dan kerana itulah pelan 100 hari untuk menguasai perang melawan pandemik Covid-19 harus menjadi perkara paling penting untuk diusahakan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here