DAP sedia ambil langkah sukar kerjasama dengan kerajaan baharu

0
3

DAP bersedia melihat ke hadapan dan mengambil langkah sukar untuk bekerjasama dengan kerajaan baharu pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. 

Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng berkata ia dengan menggunakan Pelan Reset Covid-19 Negara dan Pelan Pemulihan Ekonomi bernilai RM45 bilion untuk mengembalikan negara dan ekonomi kepada situasi nomal.  

“Rancangan normalisasi ini akan membolehkan kita meneruskan kehidupan, bekerja mencari rezeki, meneruskan perniagaan, kembali ke sekolah dan memberi inspirasi kepada golongan muda agar mereka boleh menanam cita-cita untuk merealisasikan potensi penuh mereka berbanding masa depan gelap akibat “total lockdown” dan bergantung pada bakul makanan. 

“Kesediaan untuk bekerjasama bagi memerangi Covid-19 dan mengatasi krisis ekonomi ini tidak boleh disalah anggap sebagai Pakatan Harapan (PH) atau DAP membentuk kerajaan perpaduan dengan Ismail Sabri.  

“Ini tidak benar dan jauh daripada kebenaran. DAP akan tetap berada dalam pembangkang untuk memainkan peranan Perlembagaan kami sebagai semak dan imbang terhadap kerajaan, membawa suara rakyat, membela cita-cita dan prinsip serta melawan ketidakadilan,” katanya menerusi kenyataan hari ini. 

Guan Eng berkata DAP juga sedia bekerjasama demi untuk melaksanakan reformasi institusi, terutama pindaan Perlembagaan yang memerlukan 2/3 majoriti untuk menggubal Undang-undang Anti Lompat Parti. 

Katanya, dengan satu daripada 18 rakyat Malaysia dijangkiti Covid-19, semua pihak tidak boleh menunggu lagi dan Pelan Reset Covid-19 Negara perlu mempercepatkan vaksinasi, menyediakan pemeriksaan ujian massa menggunakan strategi Cari, Uji, Kesan, Kuarantin dan Sokongan berserta Vaksinasi (FTTIS + V) seperti disyorkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). 

Selain itu, katanya, memastikan hospital dan perkhidmatan kesihatan dikendalikan dengan baik dan diberi peruntukan sepenuhnya dengan katil, ubat-ubatan, dan kemudahan ICU mencukupi untuk merawat pesakit.  

“Pelan Pemulihan Ekonomi bernilai RM45 bilion perlu memberi penumpuan kepada bantuan kewangan dan suntikan dana secara terus serta berkala dan bukannya pendekatan lapuk “one-off” dan bantuan tidak langsung seperti pinjaman dan jaminan. 

“Marilah kita menghidupkan kembali Impian Malaysia yang penuh dengan harapan dan potensi masa depan yang lebih cerah untuk semua,” katanya lagi. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here