PDRM cadang kaji semula laporan patologi Muhammad Adib

0
2

Fitri Nizam

Polis Diraja Malaysia (PDRM) mencadangkan kepada Jabatan Peguam Negara supaya mengkaji semula laporan patologi berhubung kes kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, cadangan itu diusulkan berikutan pihaknya gagal menemui bukti baharu yang boleh mengenalpasti individu yang terbabit dalam kes berkenaan.

“Kita telah pun mencadangkan kepada Jabatan Peguam Negara supaya laporan patologi dapat dikaji semula.

“Jabatan Peguam Negara pada dasarnya bersetuju satu jawatankuasa ditubuhkan di bawah Kementerian Kesihatan (KKM) untuk mengkaji bukti yang telah dibentangkan dalam laporan patologi itu,” katanya ketika ditemubual di RTM 1 , malam ini.

Beliau berkata, sekiranya jawatankuasa itu masih lagi tidak berpuas hati selepas kajian semula dibuat, pihaknya tiada jalan lain, selain mengesyorkan inkues kali kedua.

“Di pihak PDRM, saya memberi jaminan saya tidak ada apa-apa kepentingan untuk melindungi kepentingan politik sesiapa pun, namun kita mahu bertindak di atas fakta untuk memberi keadilan kepada semua pihak.

“Tidak ada apa-apa agenda yang tersirat… tidak baik dalam kes ini,” katanya.

Mahkamah Koroner memutuskan kematian Muhammad Adib yang parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya di Selangor pada November 2018 adalah akibat perbuatan jenayah yang dilakukan lebih dua atau tiga individu yang tidak diketahui.

“Kecederaan ‘blunt chest trauma’ yang menyebabkan kematian Muhammad Adib bukan perbuatan sendiri, tetapi impak perbuatan jenayah oleh lebih daripada dua individu,” katanya.

Pada 27 November 2018, Muhammad Adib yang juga anggota van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman.

Selepas 21 hari bertarung nyawa, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember lepas di Institut Jantung Negara (IJN).