Video anak jutawan kosmetik memandu bawah umur disiasat

0
1

POLIS menyiasat satu video tular aksi remaja perempuan dipercayai bawah umur, memandu sebuah kereta yang dikatakan dirakam pada 2018.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz berkata, video itu dimuat naik di laman sosial Facebook bernama ‘Sayang-Sayang DSV’ berdurasi 33 saat.

“Setakat ini polis masih belum mengenal pasti model dan nombor pendaftaran kereta yang dipandu remaja berkenaan .

“Kejadian dipercayai berlaku berdekatan rumah berhampiran Meru Hills, Ipoh, dengan remaja itu turut dilihat berbual dengan seseorang dipercayai wanita.

“Siasatan lanjut diteruskan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) Ipoh melalui laporan dibuat pegawai trafik bagi mengenal pasti identiti pelaku dan butiran kenderaan di dalam video itu,” katanya seperti dilapor Harian Metro semalam.

Menurut A Asmadi, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 39(5) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu membenarkan pemandu bawah umur memandu kenderaan.

Tambahnya, pelakunya juga boleh disiasat mengikut Seksyen 26(1) akta sama kerana memandu kenderaan tanpa lesen.

Difahamkan, video remaja memandu tersebut dirakam oleh wanita yang dipercayai ibunya yang juga seorang jutawan kosmetik terkenal. – Malaysiapost