Istiadat angkat sumpah jemaah menteri selesai

0
2

SERAMAI 30 menteri dan 37 timbalan menteri selesai mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia dalam istiadat di Istana Negara hari ini.

Istiadat terbabit berlangsung hampir dua jam di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Turut berangkat pada istiadat itu ialah Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Barisan menteri dan timbalan menteri dibahagikan kepada beberapa kumpulan dan mengangkat sumpah mengikut giliran kumpulan masing-masing.

Hanya dua orang tidak dapat hadir iaitu Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar dan Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Mohamad Alamin.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob juga tidak dapat hadir selepas terpaksa menjalani kuarantin kendiri setelah disahkan kontak rapat pesakit Covid-19.

Turut hadir, Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Istiadat itu diakhiri dengan bacaan doa dan nyanyian lagu Negaraku sebelum Agong dan Raja Permaisuri berangkat meninggalkan Istana Negara.

Majlis itu berlangsung selepas Ismail Sabri mengumumkan 69 ahli Kabinet baharu minggu lalu.

Ismail Sabri telah mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri kesembilan di hadapan Agong pada 20 Ogos lalu, selepas menerima sokongan 114 Ahli Parlimen. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here